RM232 juta tingkat keupayaan Maritim Malaysia Kelantan

RM232 juta tingkat keupayaan Maritim Malaysia Kelantan

MOHD. Rosli Abdullah (tengah) menyaksikan majlis terima tugas daripada  Erwan Shah Soahdi (kiri) kepada Kamal Mohamad (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Maritim mALAYSIA Kelantan, Tok Bali, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM232 juta bagi melaksanakan pembinaan infrastruktur utama dalam meningkatkan keupayaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menjaga keselamatan perairan negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, peruntukan itu melibatkan pembinaan infrastruktur penguatkuasaan pembinaan jeti sepanjang 200 meter, pejabat operasi dan lokap tahanan dengan tempoh siap dijangka dalam masa tiga tahun.

Katanya, cadangan pembangunan Pangkalan Maritim Malaysia Pengkalan Kubor seluas lebih satu hektar turut mendapat persetujuan Kementerian Dalam Negeri yang dijangka bermula pada 2027.

“Kos pembinaan pangkalan Maritim Malaysia di lokasi strategik itu dianggarkan mencecah RM5 juta. Projek kedua itu masih pada peringkat awal berbanding pembinaan Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kelantan berhampiran Kuala Tok Bali di sini.

“Satu lagi projek penting adalah pembinaan kemudahan tahanan vesel di Sungai Semerak di atas tanah seluas kira-kira setengah ekar bernilai RM2 juta hingga RM3 juta yang ketika ini masih di peringkat awal perancangan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Maritim Malaysia  Kelantan di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kelantan di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Mohd. Rosli menyaksikan penyerahan tugas Pengarah Maritim Malaysia Kelantan daripada Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi kepada Kepten Maritim Kamal Mohamad.

Mohd. Rosli memberitahu, tapak tahanan vesel Maritim Malaysia Kelantan ketika ini disewa sementara sebelum pemilik tanah bersetuju untuk menjualnya kepada kerajaan bagi tujuan pembangunan jangka panjang.

Menurutnya, kawasan tersebut selepas ini mampu menempatkan lebih 10 vesel pada satu-satu masa sekali gus memperkukuh keupayaan penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan Kelantan.

“Pembangunan yang berjalan dan bakal dilaksanakan menyokong agenda kerajaan dalam memperkasa tadbir urus maritim selain meningkatkan pematuhan undang-undang dalam kalangan pengusaha vesel,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Rosli berkata, petunjuk prestasi utama (KPI) penguatkuasaan kini memberi fokus kepada pematuhan undang-undang dalam kalangan warga maritim sepanjang diperairan seluruh negara.

Katanya, sasaran tangkapan berkait pelbagai kesalahan perlu tidak melebihi tiga peratus dengan pelbagai langkah termasuk kaedah menyampaikan kefahaman berkait kesalahan yang tidak sepatutnya dilakukan warga nelayan.

Tambah beliau, sebanyak 250,000 pemeriksaan telah dijalankan sepanjang tahun lalu dengan hanya 2,000 tangkapan direkodkan iaitu hanya dua peratus daripada sasaran ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN