Rembo Melaka mohon maaf kepada Mohd. Na'im

Rembo Melaka mohon maaf kepada Mohd. Na’im

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kes saman fitnah antara bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan pempengaruh, Ramzi Kamil atau Rembo Melaka berhubung dakwaan pengambilan suntikan vaksin kepada jemaah haji dan umrah berakhir dengan penyelesaian secara baik.

Berdasarkan penghakiman persetujuan yang direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Helmi Hamzah, kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan pertikaian itu secara damai di luar mahkamah.

Ramzi selaku defendan menzahirkan kekesalan serta memohon maaf atas kenyataan yang dianggap menjejaskan reputasi Mohd. Na’im sebagai plaintif, selain berjanji tidak akan mengulangi penerbitan kenyataan seumpama itu pada masa hadapan.

Mahkamah turut mengarahkan defendan memadam dua hantaran berkenaan dalam tempoh 24 jam serta melarang sebarang penerbitan semula kenyataan tersebut selain perlu memuat naik permohonan maaf terbuka tanpa syarat di media sosial dan mengekalkannya selama 30 hari.

Selain itu, Ramzi juga diarahkan membayar kos penyelesaian sebanyak RM5,000 kepada Mohd. Naim dalam tempoh tujuh hari selepas penghakiman direkodkan.

Pada 23 Disember 2025, saman tersebut difailkan susulan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dimuat naik di akaun Facebook milik Ramzi pada 23 dan 25 November tahun sama berkaitan isu pengambilan vaksin dalam kalangan jemaah haji dan umrah.

Dalam pernyataan tuntutan sebelum ini, plaintif mendakwa defendan memberi gambaran seolah-olah beliau memaksa jemaah haji mengambil vaksin, selain menimbulkan persepsi bahawa tindakan itu menjadikannya tidak layak memegang jawatan berkaitan hal ehwal agama.

Plaintif turut mendakwa kenyataan tersebut mencetuskan tanggapan bahawa jemaah tidak mempunyai pilihan sehingga ada yang kononnya menolak peluang menunaikan haji atau umrah kerana enggan menerima suntikan vaksin yang dianggap haram.

Sepanjang prosiding, plaintif diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, Muhammad Aslam Akberdin dan Ahmad Redza Akberdin, manakala defendan diwakili peguam, Nur Fazrin Ahmad. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN