TIDAK hanya berkongsi tentang masakan, penyanyi dan chef selebriti, Datuk Fazley Yaakob mencuri tumpuan dalam aplikasi Threads kerana kelantangannya menyuarakan isu rumah tangga.
Ramai bersetuju, tidak kurang juga yang mengecam nasihat dikongsikan selebriti terbabit. Baru-baru ini tular lagi beberapa kenyataan Fazley antaranya tidak suka perempuan bersolek tebal, tidak pandai menjaga kebersihan bawah lengan selain isu perempuan malas masak.
Menurut Fazley atau Ahmad Fadzli Yaakob, 47, teguran yang dikongsikan itu bukan saja-saja tetapi berdasarkan permintaan segelintir kaum lelaki yang mengirim pesanan berbentuk mesej terus (DM), meminta beliau bersuara mewakili mereka.
“Hampir 50 peratus yang saya tampilkan adalah berdasarkan DM orang. Saya secara tidak sengaja menjadi pencipta kandungan kerana ramai yang minta lontarkan isu yang mereka takut untuk suarakan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Fazley sedar muncul pihak yang kurang senang dengan kelantangannya, terutama semenjak beliau kembali memegang status solo.
“Ada yang kata mentang-mentang sudah kembali bujang, sekarang hendak sentuh isu perempuan. Saya kata ini keperluan sebab tidak ramai suami yang berani tegur isteri,” katanya lagi.
Namun, populariti dalam Threads membawa kisah pelik. Fazley mendedahkan beliau menerima gambar-gambar ketiak yang dihantar pengikut wanita selepas menyentuh isu kebersihan bawah lengan membabitkan golongan tersebut.
“Sejak isu itu tular, ramai hantar gambar bawah lengan kepada saya. Saya anggap perkara itu sensitif,” jelasnya.
Didesak agar fokus kepada bidang masakan, Fazley tidak mahu membataskan peluangnya dalam berkarya dan menyatakan pendapat.
Beliau menganggap media sosial sebagai ‘makmal’ untuk berkongsi perspektif kehidupan yang mungkin pahit untuk ditelan sesetengah orang.
“Jangan anggap apa yang saya tulis itu racun. Yang pahit tidak semestinya racun dan yang manis tak selamanya madu,” katanya yang berpandangan perkongsian di media sosial hanyalah sekadar refleksi peribadi.
Beliau lebih selesa meletakkan dirinya sebagai pemerhati sosial yang membawa suara lelaki ke mata masyarakat.
“Kalau saya berjumpa seseorang nanti, jangan nilaikan saya berdasarkan apa yang saya tulis di Threads. Itu suara orang ramai yang saya kongsikan,” ujarnya.
KEKAL AKTIF SEPANJANG RAMADAN
Mengulas mengenai aktiviti sepanjang Ramadan, Fazley bakal menjayakan dua buah program masakan selain menyelia beberapa buah restoran.
“Alhamdulillah, Ramadan ini saya terlibat dengan program Masak Apa Tu dan Anak Mama Masak Apa Tu di mana saya berpeluang menjadi hos bersama anak saya.
“Ramai yang bertanya, bolehkah menu berbuka puasa di rumah kelihatan macam juadah hotel lima bintang? Tapi saya hasilkan sesuatu yang hiasan dan persembahannya bertaraf tujuh bintang,” katanya.
Tidak sekadar di televisyen, Fazley juga menjaga enam buah restoran dan menjalin kerjasama untuk menu masakan kampung.
“Tahun ini agak sibuk berbanding biasa. Saya menjaga enam restoran di lokasi berbeza termasuk di Singapura yang bertemakan masakan Melayu, Arab dan India,” kongsinya.









