KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu menghormati bulan Ramadan yang bakal tiba dengan mengelak pembaziran makanan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pada tahun lalu, sisa makanan di Wilayah Persekutuan berjumlah 38,000 tan, menunjukkan kesedaran terhadap pembaziran perlu ditingkatkan.
Menurutnya, setiap rakyat harus mengamalkan sikap sederhana dalam penyediaan dan penggunaan makanan agar manfaat makanan tidak terbuang.
“Saya ingin menekankan pentingnya menghayati Ramadan dengan beribadah, bersedekah dan mengurangkan pembaziran demi manfaat masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Amanat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama Jawi tahun 2026 di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut merasmikan kempen Islah Madani: Menghormati Ramadan dan Bijak Bersedekah yang dilancarkan untuk mendidik rakyat mengurus makanan dengan bijak.
Tambah Zulkifli, pelaksanaan kempen ini turut melibatkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk memastikan mesej disampaikan secara menyeluruh dan berkesan.
Katanya, antara fokus utama adalah saranan penubuhan jawatankuasa khas anak muda masjid supaya golongan remaja sentiasa merasa dekat dengan masjid.
“Penubuhan jawatankuasa itu amatlah penting agar dapat menarik minat anak muda untuk mengunjungi masjid dan membuatkan mereka merasa dekat dengan masjid dan masyarakat,” katanya.-UTUSAN











