PETALING JAYA: Tuntutan berpuasa dan melaksanakan amalan sepanjang Ramadan bukan sekadar memenuhi syarat serta rukun, sebaliknya perlu dihayati daripada sudut hikmah dan objektif syariat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemuncak kenikmatan ibadah Ramadan adalah pencapaian takwa melalui proses tarbiyah yang membentuk watak dan keperibadian, berpaksikan kesedaran hati nurani dan kewaspadaan batin yang lahir daripada rasa takut kepada Allah.
“Sehubungan itu, motivasi dalam melaksanakan ibadah pada bulan Ramadan harus didorong dengan semangat mujahadah yang bukan sahaja menggapai cita-cita ukhrawi.
“Tetapi pada masa sama meningkatkan disiplin kendiri dan keinginan bekerja dengan sepenuh hati dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab harian,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar juga menzahirkan rasa syukur kerana diberi kesempatan untuk kembali bertemu bulan yang mulia dan sentiasa dirindui umat Islam.
Dalam pada itu, beliau turut memetik firman Allah melalui ayat 69, Surah al-Ankabut berhubung janji kepada mereka yang berusaha memperbaiki amalan.
Beliau turut memetik hadis daripada Talhah bin Ubaidillah mengenai doa Rasulullah ketika melihat anak bulan Ramadan.
“Sabda Rasulullah SAW: ‘Ya Allah, naungilah kami dengan keamanan dan keimanan serta keberkatan, keselamatan dan kesejahteraan. Tuhanku dan tuhanmu adalah Allah,’” ujarnya. – UTUSAN










