Puasa beri kelebihan biologi pesakit kanser

Puasa beri kelebihan biologi pesakit kanser

AMALAN berpuasa, sama ada pada bulan Ramadan mahupun puasa berkala (intermittent fasting), secara teorinya mampu mencetuskan perubahan fisiologi yang berpotensi memberi manfaat kepada pesakit kanser.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amalan berpuasa, sama ada pada bulan Ramadan mahupun puasa berkala (intermittent fasting), secara teorinya mampu mencetuskan perubahan fisiologi yang berpotensi memberi manfaat kepada pesakit kanser.

Walau bagaimanapun, pendekatan ini tidak semestinya sesuai untuk semua pesakit dan perlu dinilai secara individu melalui perundingan bersama doktor yang merawat.

Pakar Perubatan Dalaman (Haematologi), Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Bahariah Khalid berkata, berpuasa dapat mencetuskan beberapa mekanisme biologi yang menarik perhatian dalam konteks rawatan penyakit berkenaan.

Menurut beliau, antara kesan yang sering dibincangkan dalam literatur saintifik adalah fenomena kerintangan tekanan pembezaan (differential stress resistance – DSR).

“Dalam fenomena DSR, sel normal akan memasuki mod perlindungan semasa kekurangan nutrien, manakala sel kanser menjadi lebih terdedah kepada tekanan.

“Dalam keadaan tertentu, sel kanser dilihat kurang berupaya menyesuaikan diri ketika dipuasakan dan ini berpotensi meningkatkan sensitiviti terhadap rawatan kemoterapi atau radioterapi,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, puasa juga dikaitkan dengan penurunan paras insulin dan glukosa dalam darah, yang mana ia amat penting memandangkan kebanyakan sel kanser sangat bergantung kepada glukosa untuk proses pertumbuhan.

Menurut Dr. Bahariah, keadaan ini turut mengaktifkan proses autofagi, iaitu mekanisme semula jadi sel untuk membuang komponen yang rosak, selain berpotensi mengurangkan keradangan melalui penurunan penghasilan sitokin prokeradangan.

Jelas Dr. Bahariah lagi, sel normal mempunyai keupayaan metabolik yang lebih fleksibel dan apabila bekalan glukosa menurun semasa berpuasa, sel normal boleh beralih menggunakan asid lemak dan keton sebagai sumber tenaga alternatif menerusi proses ketosis.

“Sebaliknya, kebanyakan sel kanser kurang cekap menggunakan keton, lantas menjadikannya lebih terjejas. Perbezaan inilah yang menjadi asas kepada hipotesis bahawa puasa mungkin memberi kelebihan biologi dalam menyokong rawatan kanser,” katanya.

Biarpun terdapat kajian awal termasuk kajian terhadap haiwan dan penyelidikan klinikal berskala kecil yang menunjukkan potensi manfaat puasa dalam meningkatkan keberkesanan rawatan serta mengurangkan kesan sampingan seperti loya dan keletihan, bukti mengenai jangka hayat panjang (survival) pada manusia masih lagi terhad.

Oleh itu, kata Dr. Bahariah, keberkesanan dan manfaat sebenar amalan itu masih memerlukan kajian berskala besar serta penelitian lanjut.

Namun katanya, puasa bukanlah rawatan utama bagi penyakit kanser, sebaliknya ia hanya boleh dipertimbangkan sebagai sokongan tambahan dalam keadaan yang bersesuaian. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN