Polisi ‘Aku Janji Sekolah’ erat kerjasama sekolah, ibu bapa , murid

Polisi ‘Aku Janji Sekolah’ erat kerjasama sekolah, ibu bapa dan murid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Langkah Kementerian Pendidikan memperkenalkan polisi ‘Aku Janji Sekolah’ yang membabitkan kerjasama dan komitmen strategik tiga pemegang taruh utama iaitu sekolah, ibu bapa dan murid diyakini mampu memupuk budaya kesedaran dan tanggungjawab yang tinggi dalam kalangan semua pihak yang terlibat.

Inisiatif baharu kementerian berkenaan dilaporkan akan dilaksanakan di bawah Polisi Perlindungan Murid yang menjadi antara lima teras utama reformasi segera Kementerian Pendidikan.

Empat lagi skop teras ialah kesihatan mental, pendidikan reproduktif dan sosial, kebajikan guru dan suara murid.
Ini antara langkah terkini yang termaktub dalam garis panduan baharu yang akan dikeluarkan oleh kementerian berkenaan berkaitan keselamatan sekolah, termasuk isu buli, gangguan seksual dan keselamatan fizikal sekolah bermula sesi persekolahan 2026.

Secara prinsipnya kemenjadian murid secara holistik baik dari segi akademik mahu pun sahsiah bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh tiga komponen utama iaitu sekolah, ibu bapa dan murid itu sendiri.

Maka ketiga-tiga pihak ini wajar ada aku janji yang jelas supaya masing-masing sedar, tahu dan jelas tanggungjawab yang perlu dipikul dan dilaksanakan.

Lazimnya tanggungjawab asas yang kita fahami selama ini adalah, sekolah berjanji untuk melindungi dan mendidik anak dengan selamat, ibu bapa sedar tanggungjawab menyediakan peluang dan keperluan untuk anak dan murid membuat aku janji untuk belajar sungguh-sungguh, jaga disiplin dan nilai diri.

Secara teorinya komitmen tersebut nampak jelas, namun bukan mudah untuk direalisasikan.

Misalnya, pelbagai isu keselamatan di sekolah seperti isu buli, gangguan seksual, salah laku guru, keselamatan fizikal, masalah disiplin anak-anak yang semakin membimbangkan, selain sikap ibu bapa yang lepas tangan dan tidak cakna dengan perkembangan akademik dan sahsiah anak-anak yang dilaporkan sekian lama membuktikan ‘aku janji’ tidak rasmi yang ada agak longgar dan tidak dipatuhi sepenuhnya.

Ironinya, soal tanggungjawab kecemerlangan akademik mahupun sahsiah murid tidak boleh diletakkan di bahu satu pihak semata-mata, khususnya sekolah atau guru. Sebaliknya, ketiga-tiga komponen utama yang terlibat perlu berperanan secara efektif dalam kerangka menyedari sepenuhnya tanggungjawab yang diamanahkan.

Sekolah juga perlu memastikan masalah buli dan jenayah lain tidak berlaku di sekolah. – UTUSAN 

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Yang Dipertua PIBG, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN