Polis teliti kandungan, ucapan himpunan #TangkapAzamBaki

Polis teliti kandungan, ucapan himpunan #TangkapAzamBaki

FADIL MARSUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis sedang meneliti kandungan dan ucapan mereka yang terlibat dalam himpunan #TangkapAzamBaki  di pusat beli-belah, Sogo di sini semalam, bagi mengenal pasti sebarang unsur yang menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya akan membuka siasatan sekiranya terdapat unsur-unsur 3R dikesan dalam himpunan terbabit.

“Siasatan and risikan masih lagi diteruskan kita akan melihat pada isi kandungan, ucapan-ucapan sekiranya ada yang menyentuh isu 3R.

“Kita akan pastikan bahawa siasatan akan dibuka dan merujuk kepada penganjur tentang isu sebegini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sentul di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan penyerahan tugas dan tongkat kuasa Ketua Polis Daerah Sentul baharu antara Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari dan Asisten Komisioner Basri Sagoni.

Ahmad Sukarno akan memegang jawatan ACP Urus Setia, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menggantikan Basri. 

Fadil turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahmad Sukarno atas segala khidmat bakti, sumbangan serta kepimpinan yang telah dicurahkan sepanjang memegang amanah sebagai Ketua Polis Daerah Sentul selama dua tahun 9 bulan 8 hari. 

“Sejak memegang jawatan Ketua Polis Daerah Sentul bermula 8 Mei 2023, beliau telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan penambahbaikan bagi memperkukuh keupayaan IPD Sentul.

“Kepimpinan dan komitmen yang ditunjukkan memberi impak positif terhadap pentadbiran, operasi serta hubungan dengan masyarakat setempat khususnya di daerah Sentul ini di samping memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan sentiasa terpelihara berteraskan integriti dan semangat kebersamaan.

“Sesungguhnya, kejayaan yang dikecapi merupakan hasil komitmen tinggi, ketegasan dalam membuat keputusan dan kebolehan memimpin pasukan dengan penuh tanggungjawab,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN