SEREMBAN: Seorang wanita yang juga merupakan pengasuh disiasat susulan laporan polis terhadapnya yang didakwa mendera seorang bayi lelaki berusia dua bulan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim memberitahu, pihaknya menerima laporan berhubung kes tersebut pada 13 Februari lalu.
Menurutnya, bayi lelaki berusia dua bulan itu dipercayai didera oleh pengasuhnya di Kampung Kayu Ara, Mambau, Seremban.
“Bayi tersebut dihantar oleh ibunya ke rumah pengasuh pada awal pagi untuk dijaga. Pada pukul 5.10 petang hari sama, semasa ibu mengambil mangsa, didapati terdapat kesan kecederaan iaitu luka calar di bahagian dada dan lebam di pipi kiri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) bagi menjalankan pemeriksaan perubatan.
“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan kuku dan melecet pada dada serta lebam pada pipi kiri mangsa dan bayi tersebut kini ditahan di wad pediatrik untuk pemerhatian lanjut dan berada dalam keadaan stabil.
“Hasil siasatan awal mendapati aktiviti pengasuhan telah dijalankan selama dua tahun, namun tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001.
Sementara itu, ibu mangsa, Nur Suliana Mohd. Nasarudin, 25, mendakwa bayi lelakinya ditampar dan dicubit oleh seorang pengasuh di sebuah rumah di Kampung Kayu Ara, Mambau di sini.
Katanya, dia mengenali wanita berkenaan selepas melihat iklan mencari kanak-kanak asuhan yang dimuat naik di Facebook sebelum bersetuju menghantar tiga orang anaknya ke rumah pengasuh tersebut.
Katanya, ketika mengambil bayinya pada petang Jumaat lalu, dia hanya dimaklumkan oleh pengasuh mengenai kesan pada bahagian dada namun tidak diberitahu mengenai kesan darah, lebam di muka serta luka di telinga.
“Selepas 30 minit pulang ke rumah, saya mengambil suami di tempat kerjanya dan terus membawa bayi saya ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban. Sampai di sana, pihak hospital minta kami untuk membuat laporan polis di balai berhampiran di lokasi kejadian,” katanya.
Tambahnya, dia pernah berasa curiga apabila anak keduanya menangis ketakutan ketika dihantar ke rumah pengasuh berkenaan.-UTUSAN










