TELUK INTAN: Polis mengenal pasti 42 lokasi ‘hotspot’ kesesakan dan 32 lokasi ‘blackspot’ kemalangan di negeri ini yang akan diberi lebih tumpuan pada Kempen Op Selamat 25 bermula hari ini sehingga 20 Februari depan.
Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, antara lokasi hotspot tersebut ialah Jalan Kuala Kangsar (Ipoh-Butterworth) dan Jalan Sultan Nazrin Shah (Tol Simpang Pulai) di Ipoh, Jalan Kamunting-Batu Kurau (Pekan Kamunting) di Taiping, lampu isyarat Pekan Bidor di Tapah, Kilometer (KM) 8 hingga KM9 Jalan Maharajalela di Hilir Perak, lampu isyarat Pekan Batu Gajah dan lampu isyarat Simpang Empat Hutan Melintang di Bagan Datuk.
Katanya, kawasan blackspot yang dikenal pasti pula seperti di Jalan Keramat Pulai (Ipoh-Cameron Highlands), Simpang Felda Sungai Behrang, KM25 Jalan Ipoh-Lumut, KM1 dan KM4 Jalan Teluk Intan-Bidor, Jalan Selama-Taiping dan Jalan Pusing-Batu Gajah (Sekolah Kebangsaan Convent).
“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak akan mempertingkatkan pemantauan bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan penguatkuasaan sepanjang Op Selamat 25 berlangsung.
“Seramai 555 pegawai kanan dan anggota polis digerakkan dalam operasi selama enam hari bermula hari ini,” katanya dalam sidang akhbar sempena Kempen Op Selamat Sambutan Tahun Baharu Cina Negeri Perak di Plaza Tol WCE Teluk Intan, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan Pesisiran Pantai Barat (WCE), Lyndon Alfred Felix; Ahli Lembaga Pengarah WCE Holdings Berhad, Datuk Hamza Taib dan Pengarah Wilayah Utara, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Ir. Muhamad Syarizal Zin Azman.
Menurut beliau, sepanjang pelaksanaan Op Selamat 25, JSPT Perak akan memberi tumpuan khusus terhadap enam kesalahan trafik utama yang dikenal pasti sebagai penyumbang kepada kemalangan jalan raya.
Katanya, kesalahan berkenaan ialah memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan alat komunikasi ketika memandu.
“Kesalahan memandu melebihi had laju merupakan antara yang paling kerap berlaku. Kebiasaannya, pemandu memperlahankan kenderaan di kawasan yang mempunyai kamera pemantauan, namun kembali memecut sebaik melepasi kawasan tersebut,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, selain melakukan pemantauan lalu lintas, pihaknya juga memberi tumpuan kepada pencegahan kes jenayah pecah rumah.
Katanya, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kenderaan peronda polis (MPV) akan digerakkan untuk melakukan rondaan di kediaman yang ditinggalkan penghuni yang pulang bercuti.
“Rondaan akan dijalankan dengan lebih kerap dan mengikut keadaan, mengambil kira rumah yang ditinggalkan, jenis kegiatan yang berlaku di kawasan tersebut dan kejadian pecah rumah yang sering berlaku semasa ketiadaan penghuni,” katanya. – UTUSAN










