PETALING JAYA: Polis sedang giat mengesan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes khianat dengan memecahkan 12 unit mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di kawasan Jinjang Utara dan Selatan, di sini.
Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) suspek yang bertopi keledar masuk ke dalam kaunter dan memecahkan skrin mesin ATM menggunakan objek disyaki batu sebelum melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada seorang juruteknik ATM berusia 38 tahun kira-kira pukul 8.40 pagi, kelmarin.
Menurutnya, semasa menjalankan kerja penyelenggaraan, pengadu mendapati empat skrin mesin ATM telah retak disyaki perbuatan khianat oleh individu tidak dikenali.
“Polis turut menerima empat lagi laporan berkaitan khianat mesin ATM antara pukul 12.24 tengah hari hingga 10.16 malam, semalam.
“Dua kes di Cawangan Maybank Jinjang Selatan, manakala satu kes masing-masing di Cawangan RHB Jinjang Utara dan di Cawangan Public Bank Jinjang Utara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Basri berkata, jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan sekitar RM64,000.
Sehubungan itu, katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul telah melancarkan operasi khas bagi mengesan dan menangkap suspek.
“Suspek merupakan seorang lelaki dengan ketinggian lebih kurang 1.65 meter, berbadan sederhana dan berkulit cerah.
“Ketika kejadian suspek memakai baju kemeja lengan pendek warna kelabu, berseluar panjang serta memakai selipar warna hitam,” ujarnya.
Beliau berkata, suspek juga didapati memakai topi keledar warna biru dan menaiki motosikal jenis Honda Wave warna biru, namun nombor pendaftaran belum dapat dikenal pasti.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dengan niat jahat yang menyebabkan kerugian atau kerosakan harta benda.
Sebarang maklumat berkaitan jenayah, boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran dalam membanteras kejadian jenayah ini daripada berleluasa. – UTUSAN










