PM mahu peranan Majlis Media Malaysia diperkukuh

PM mahu peranan Majlis Media Malaysia diperkukuh

FAHMI Fadzil (dua kiri) menyaksikan pertukaran MoU diantara Pengerusi Zchwantech Cybersecurity Sdn Bhd, Tengku Datuk Setia Putra Al-Haj Tengku Azman Alhaj (dua kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Magna AI Dr Moataz Ali (kiri) di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu peranan Majlis Media Malaysia (MMM) dimantapkan seiring usaha kerajaan memberi ruang kebebasan media yang lebih terbuka.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dinyatakan sendiri Perdana Menteri kepada beliau menerusi panggilan telefon malam tadi.

“Apa yang beliau (Perdana Menteri) maklumkan kepada saya berkait juga dengan memantapkan MMM. Selain itu ada juga beberapa isu berkaitan cabaran teknologi dan amalan kewartawanan yang akan disusuli melalui sesi libat urus bersama MMM,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Zchwantech Group dan Magna AI di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau mengakui terdapat kebimbangan berkaitan etika kewartawanan, khususnya perbezaan antara tajuk berita dan kandungan laporan, namun yakin pengamal media peka terhadap perkara berkenaan.

“Saya percaya rakan-rakan media cakna. Kadangkala isu itu berlaku di lapangan semasa pelaporan dan apabila sampai ke peringkat ketua pengarang, mungkin ada ruang untuk kita bantu tambah baik,” katanya.

Fahmi berkata, seperti yang sedia maklum, kerajaan telah menyediakan dana inovasi media untuk membantu lebih banyak organisasi media berdepan dengan cabaran perubahan yang terlalu mendadak mengakibatkan kehilangan perbelanjaan pengiklanan dan juga dari segi produktiviti bagi pekerja.

Perdana Menteri pada sesi Temu Anwar semalam berkata, kerajaan bersedia memberikan ruang kebebasan media yang lebih terbuka, termasuk mempertimbangkan kajian semula undang-undang berkaitan, selaras dengan tahap kematangan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN