PGA gempur 22 premis jual peranti, cecair rokok elektronik

PGA gempur 22 premis jual peranti, cecair rokok elektronik

BALVEER Singh Mahindar Singh (tengah) menunjukkan sebahagian cecair serta peranti rokok elektronik yang dirampas dalam Op E-Ciggarette Mega di Kedah, Pulau Pinang dan Perak pada sidang akhbar di Kubang Pasu, Kedah, semalam. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Sebanyak 22 premis disyaki terlibat dalam aktiviti penyimpanan dan penjualan cecair serta peranti rokok elektronik secara salah diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi di tiga negeri, kelmarin.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, premis yang diserbu melibatkan lapan buah di Kedah, tiga di Pulau Pinang dan 11 di Perak.

Beliau berkata, pihaknya merampas 2,684 botol cecair rokok elektronik beserta peranti, 432 pek produk tembakau dan 34 rokok tembakau dengan nilai dianggarkan RM252,245.

“Selain aktiviti penjualan runcit, pasukan serbuan turut menemui sebuah premis di Kulim, yang disyaki dijadikan tempat pemprosesan dan penyediaan cecair rokok elektronik dipercayai baru beroperasi sekitar empat bulan lalu.

“Premis itu dipercayai beroperasi tanpa kebenaran serta tidak mematuhi piawaian kesihatan dan keselamatan ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Operasi bersepadu berskala besar, Op E-Ciggarette Mega itu dilakukan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) kontinjen Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Balveer Singh berkata, kesemua individu yang ditahan dalam operasi terbabit terdiri daripada peniaga dan pekerja di premis masing-masing.

“Seorang wanita berusia 21 tahun merupakan individu dikehendaki di bawah rekod kesalahan Seksyen 182 Kanun Keseksaan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, manakala 22 lagi berusia antara 20 hingga 45 tahun diserahkan kepada KKM untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Menurutnya, dalam serbuan itu juga PBT terlibat turut mengeluarkan kompuan yang bernilai RM3,750 membabitkan pelbagai kesalahan.

“LHDN Perak pula menjalankan pemeriksaan ke atas empat premis sasaran di kawasan Taman Perpaduan, Ipoh dan mendapati tiga daripadanya gagal mengisytiharkan cukai pendapatan perniagaan bagi tempoh 2020 hingga tahun lalu melibatkan anggaran cukai RM226,200,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN