PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) melalui Malaysia Petroleum Management (MPM) memperkenalkan sembilan blok penerokaan di seluruh negara bagi Pusingan Bidaan Malaysia 2026 (MBR 2026), selaras usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan premium.
Portfolio itu membentangkan gabungan peluang yang seimbang, menampilkan blok penerokaan berimpak tinggi di sempadan Lembangan Sandakan, blok penerokaan berpotensi tinggi di Lembangan Barat Sarawak dan blok penerokaan dekat lapangan dengan idea permainan baharu di Lembangan Melayu.
Pusingan bidaan dengan tema ‘Tenaga Berkeuntungan: Mempercepat dan Membentuk Masa Depan’ ini juga merangkumi enam Peluang Sumber Tertemu (DRO) yang menawarkan laluan ‘sedia untuk dibangunkan’ untuk tujuan komersial.
Pelabur dan penyedia penyelesaian diberikan peluang untuk memanfaatkan maklumat teknikal yang luas, membolehkan platform pembangunan sumber dan pilihan pembangunan berfasa yang menyediakan keupayaan untuk pengewangan awal dan penciptaan nilai jangka pendek.
Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Ir. Bacho Pilong berkata, permintaan tenaga Malaysia akan terus berkembang dan industri huluan perlu memenuhi permintaan ini untuk memperkasa ekonomi digital dan tulang belakang pembuatan kita yang pesat berkembang.
“Manfaat sampingan ekonomi juga meliputi industri hiliran sambil menyediakan bahan mentah kepada banyak industri lain.
“Untuk memacu enjin huluan Malaysia dengan aliran peluang yang stabil, kami memerlukan pelaburan huluan bernilai RM50 bilion hingga RM60 bilion setiap tahun,” katanya.
Pelancaran MBR 2026 juga menunjukkan momentum industri dan pengaktifan ekosistem yang kukuh, dengan perkongsian strategik dan pencapaian pembangunan yang diumumkan selari dengan tawaran pusingan bidaan.
Memperkukuhkan landskap pelaburan, Petronas menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU), yang menekankan keyakinan industri dan memperkukuh Malaysia sebagai hab tenaga pertumbuhan tinggi.
MoU tersebut termasuk dengan Global FCNG, Inc, ZDA Corporation Sdn. Bhd. dan MTC Engineering Sdn. Bhd. bagi meluaskan skop peluang perkongsian dan meningkatkan ekosistem penyelesaian berasaskan teknologi Malaysia.
Selain itu, bagi memajukan peralihan tenaga dan cita-cita Pemerangkapan, Penyimpanan dan Penggunaan Karbon (CCUS), Petronas juga mengembangkan kerjasama melangkaui sempadan Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) tradisional melalui inisiatif Tanpa Sempadan melalui memorandum perjanjian dengan Petronas Carigali Sdn. Bhd. dan Hibiscus Oil & Gas Malaysia Limited.
“Dengan memanfaatkan rangka kerja Landskap CBijak Malaysia, inisiatif ini mengintegrasikan pelan kerja merentasi PSC, luar pesisir Malaysia, mengoptimumkan lagi pembangunan sumber dan meningkatkan penyelesaian pengurusan CO2 yang berdaya maju secara komersial.
“Bersama-sama, pembangunan ini memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi huluan premium di mana kejelasan peraturan, potensi sumber dan kerjasama ekosistem bertemu untuk mewujudkan nilai yang mampan dalam menyediakan keselamatan tenaga dan kesediaan peralihan,” ujarnya.
Maklumat lanjut mengenai MBR 2026 boleh didapati dengan layari http://www.malaysiabidround.com untuk meneroka rangkaian penuh tawaran. – UTUSAN










