PETRONAS meneruskan komitmen tanggungjawab sosial korporatnya apabila menganjurkan Program Sumbangan Zakat Wakalah Back-to-School bagi membantu keluarga kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, di Felda Kemasul, Bentong, Pahang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam, berkata, program tersebut memberi manfaat besar khususnya kepada anak-anak peneroka FELDA dalam membuat persiapan menghadapi sesi persekolahan tahun ini.
Menurut beliau, keprihatinan PETRONAS melalui sumbangan zakat wakalah itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjaga kebajikan masyarakat luar bandar, khususnya komuniti FELDA di Pahang.
“Program seperti ini bukan sahaja meringankan beban ibu bapa, malah menjadi pemangkin semangat kepada anak-anak untuk melangkah ke alam persekolahan dengan lebih yakin dan bermotivasi,” katanya kepada Utusan Pelajar.
Program berkenaan turut dihadiri Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Mohamad Ahmad Shazly Ramli, bersama pemimpin masyarakat setempat dan wakil peneroka FELDA, sekali gus mencerminkan kerjasama erat antara PETRONAS dan kepimpinan negeri dalam agenda kebajikan rakyat. –UTUSAN










