Permintaan domestik kekal kukuh, KDNK catat 6.3 peratus tertinggi dalam 3 tahun – PM

Permintaan domestik kekal kukuh, KDNK catat 6.3 peratus tertinggi dalam 3 tahun – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Permintaan domestik kekal kukuh dalam meneraju pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat tahun lalu mencatat sebanyak 6.3 peratus, tertinggi dalam tempoh tiga tahun dan mengatasi anggaran awal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, momentum ini mendorong pertumbuhan KDNK tahun 2025 kepada 5.2 peratus (2024: 5.1 peratus) dan melangkaui unjuran rasmi kerajaan antara 4 peratus hingga 4.8 peratus.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, untuk dua tahun berturut-turut, kerajaan berjaya mengatasi sasaran defisit fiskal, mencatat 3.7 peratus pada tahun 2025 (2024:4.1 peratus) berbanding unjuran awal 3.8 peratus.

Katanya, indikator makroekonomi yang kukuh turut memberi manfaat kepada rakyat, khususnya dengan pencapaian kadar pengangguran terendah (2.9 peratus) dalam tempoh lebih sedekad serta kadar inflasi yang rendah pada tahun 2025 pada 1.4 peratus (2024: 1.8 peratus).

“Penjimatan daripada reformasi fiskal dapat diperuntukkan semula kepada program bantuan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di samping komitmen berterusan kerajaan terhadap projek infrastruktur awam yang mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Sepanjang tempoh tiga tahun pentadbiran Kerajaan Madani, semakin ketara bahawa penyampaian yang jelas bagi rangka kerja dasar, seperti yang digariskan di bawah Ekonomi MADANI, diikuti dengan pelaksanaan berterusan pembaharuan yang sukar, telah mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

“Ini dicerminkan dalam pengukuhan ringgit sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia, peningkatan pelaburan langsung dan pencapaian paras tertinggi FTSE Bursa Malaysia KLCI dalam tempoh tujuh tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata, walaupun kerajaan mengiktiraf kemajuan yang dicapai setakat ini, kita tidak boleh leka, bukan hanya ketika mendepani rintangan global dan ketegangan perdagangan yang semakin meruncing yang terus mempengaruhi kehidupan.

Justeru, katanya, adalah penting untuk kita sentiasa kekal dalam landasan pembaharuan Ekonomi Madani, sekali gus menjadikan 2026 sebagai tahun untuk memperteguh tekad untuk menggalakkan aktiviti ekonomi bernilai tambah lebih tinggi.

Ini termasuk usaha membasmi rasuah, meningkatkan kemaslahatan hidup rakyat dan menambah baik mudah cara dalam menjalankan perniagaan.

Pada tahun ini, kata Anwar, ekonomi dijangka kekal pada trajektori yang stabil disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, penggunaan isi rumah yang kukuh dan momentum pelaburan yang berterusan.

“Aktiviti pelancongan yang lebih rancak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 serta kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam akan mengukuhkan lagi perbelanjaan pengguna.

“Belanjawan 2026 akan meletakkan asas kepada Rancangan Malaysia Ketiga Belas, 2026–2030 di samping dasar utama lain bagi menggalakkan pengembangan ekonomi yang inklusif dan mampan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan akan terus berpegang teguh kepada disiplin fiskal dalam melindungi kemampanan jangka masa panjang tatkala menyokong momentum pertumbuhan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN