GEORGE TOWN : Usaha kesiapsiagaan bantuan kecemasan di negeri ini terus diperkasakan apabila Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Pulau Pinang hari ini.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh peranan BSMM sebagai rakan strategik dalam usaha kemanusiaan khususnya dalam menyediakan bantuan kecemasan kepada masyarakat.
Menurut beliau, sumbangan terbaharu itu merupakan kesinambungan kepada sumbangan sebelum ini iaitu berjumlah RM250,000 pada 2023 bagi pembelian sebuah ambulans, selain sumbangan sebanyak RM100,000 pada 2025 untuk peralatan perubatan termasuk peralatan resusitasi kardiopulmonari (CPR).
“Pendekatan ini bertujuan memastikan BSMM Pulau Pinang sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran perkhidmatan ambulans 24 jam BSMM Pulau Pinang yang turut dihadiri oleh Pengerusi BSMM negeri, Datuk Seri Lim Tiong Chin.
Steven yang juga Penasihat BSMM Pulau Pinang berkata, nilai kemanusiaan yang diamalkan BSMM selari dengan prinsip membantu semua pihak tanpa mengira latar belakang kaum atau agama, selain berperanan membentuk sahsiah serta kemahiran pengurusan krisis dalam kalangan sukarelawan.
Katanya, semangat kebersamaan itu penting dalam memastikan Malaysia mampu tampil sebagai sebuah negara bersatu dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, dalam landskap global yang menyaksikan persaingan ekonomi semakin sengit, keupayaan negara untuk bersaing bergantung kepada tahap perpaduan serta kerjasama seluruh rakyat. – UTUSAN










