KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Faris Adam tidak menolak video panas didakwa miliknya yang sebelum ini tersebar dalam platform dalam talian sebagai usaha yang dilakukan pihak tertentu yang berniat untuk menghancurkan karier seninya.
Kata Faris, lebih menguatkan pandangan itu adalah apabila penularan video berkenaan dibuat ketika namanya meledak menerusi single Stecu Stecu (Stelan Cuek).
“Video itu disebarkan ketika nama saya semakin dikenali masyarakat. Saya tidak menafikan ada pihak yang cuba menjatuhkan,” katanya yang ditemui dalam sidang media konsert Malam FYP Timur semalam.
Penyanyi asal Maluku itu dalam masa yang sama mengakui berdepan tekanan gara-gara penularan video berdurasi 1 minit 25 saat itu.
“Pada masa itu saya terfikir, karier saya mungkin bakal hancur kerana video tersebut. Saya hanya minta pertolongan kepada Allah S.W.T.
“Alhamdulillah, tawaran menyanyi tidak putus saya terima sampai sekarang,” kongsinya lagi.
Faris sementara itu juga tidak menolak yang dirinya terkesan apabila sering berdepan pertanyaan mengenai insiden itu.
“Berlaku satu fasa di mana setiap kali saya diundang membuat persembahan, pasti perkara itu ditanyakan penganjur acara.
“Saya hanya mampu mengunci mulut, menangis sendirian dan berdoa kepada Allah S.W.T,” kongsinya lagi. – UTUSAN










