PETALING JAYA: Peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) global mencerminkan usaha Kerajaan Madani dalam memerangi rasuah secara sistemik serta membetulkan kelemahan dalam struktur tadbir urus negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan kedudukan Malaysia daripada tangga ke-57 pada 2024 kepada tangga ke-54 pada 2025 didorong tindakan penguatkuasaan tegas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
“Ini termasuk kejayaan mendapatkan semula lebih RM15.5 bilion hasil negara melalui penyitaan aset dan dana serta tindakan membanteras sindiket rasuah dan ketirisan yang sekian lama menjejaskan kewangan awam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.
Beliau dalam masa yang sama berkata, Kerajaan Madani juga tidak berkompromi apabila integriti institusi strategik dipersoalkan.
“Tindakan tegas terhadap salah laku dan penyelewengan dalam sektor pertahanan, selain pembanterasan kartel dan kes rasuah berprofil tinggi, menegaskan prinsip bahawa tiada siapa yang kebal daripada undang-undang,” katanya.-UTUSAN










