Penguatkuasaan terhadap peserta GARAH perlu dibuat secara berhemah - Ahmad Adib - Utusan Malaysia

Penguatkuasaan terhadap peserta GARAH perlu dibuat secara berhemah – Ahmad Adib

AHMAD Adib Akhyar Aminarrashid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sebarang tindakan penahanan terhadap peserta yang menyertai Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH)
hendaklah dibuat secara berhemah, profesional dan menghormati hak asasi rakyat.

Timbalan Ketua Pemuda Pas negeri, Ahmad Adib Akhyar Aminarrashid berkata, sebagai sebuah negara mendukung prinsip demokrasi berparlimen dan kedaulatan undang-undang, tindakan itu perlu diberi perhatian termasuk membabitkan hak untuk berhimpun secara aman seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Pemuda Pas Perlis amat bimbang dengan maklumat bahawa akses pasukan peguam terhadap individu yang ditahan dalam himpunan tersebut juga telah disekat.

“Perkara ini, jika benar, bukan sahaja mencetuskan persoalan dari sudut tatacara perundangan, malah boleh menghakis keyakinan rakyat khususnya golongan muda terhadap institusi penguatkuasaan negara,” katanya di sini hari ini.

Kelmarin, satu perhimpunan dianjurkan oleh 141 badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyuarakan kebimbangan terhadap isu pembinaan rumah anutan haram yang didakwa semakin berleluasa.

Dalam himpunan bermula pukul 8 malam di hadapan kompleks beli-belah Sogo itu, beberapa individu ditahan termasuk Penyelaras Garah, Zamri Vinoth dan peguam, Haniff Khatri.

Ahmad Adib berkata, golongan muda masa kini bukannya menentang peruntukan undang-undang, sebaliknya menuntut keadilan yang telus dan konsisten.

“Apabila suara rakyat yang dibuat secara aman dilihat ditekan, ia memberi gambaran seolah-olah ruang demokrasi semakin disempitkan, walaupun kerajaan sering melaungkan komitmen terhadap keterbukaan dan nilai Madani.

“Dewan Pemuda Pas Perlis ingin menegaskan bahawa menjaga ketenteraman awam tidak harus bercanggah dengan menjaga kebebasan rakyat. Kedua-duanya boleh dan mesti berjalan seiring dalam sebuah negara yang matang demokrasinya,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa diseru agar dapat memberi penjelasan dengan menghormati proses undang-undang dan memastikan hak semua pihak dipelihara tanpa prejudis.

“Tindakan yang adil hari ini adalah asas kepada kestabilan dan kepercayaan rakyat pada masa hadapan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN