Pengawal keselamatan lalu lintas depan sekolah perlu kelayakan

Pengawal lalu lintas depan sekolah perlu kelayakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penempatan pengawal keselamatan di setiap sekolah dengan tujuan untuk menjamin keselamatan barang, fasiliti dan ketenteraman pelajar serta guru sepanjang masa daripada sebarang pencerobohan luar adalah satu usaha yang terpuji oleh Kementerian Pendidikan.

Namun timbul persoalan yang kurang jelas iaitu bagaimana pula dengan perkhidmatan keselamatan kawalan lalu lintas di luar kawasan sekolah yang melibatkan pelajar?

Topik ini sangat sensitif dan menjadi usul berulang dalam perbahasan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi sekolah yang berada di kawasan bandar yang padat dengan penduduk.

Pemandangan yang biasa kita lihat adalah pengawal keselamatan akan menjaga kawalan lalu lintas di luar kawasan sekolah di waktu sesi pagi, tengah hari atau petang bagi memudahkan pelajar melintas jalan ke seberang.

Namun adakah ini tugas yang termaktub sepenuhnya dalam kontrak kawalan perkhidmatan keselamatan sekolah atau ia atas ehsan syarikat keselamatan itu sendiri?

Hasil semakan terhadap kontrak-kontrak yang biasa dianugerahkan kementerian kepada pihak syarikat keselamatan juga, tiada memiliki apa-apa terma yang menyatakan dengan jelas bahawa pengawal keselamatan sekolah perlu mengawal lalu lintas.

Malah ada pengawal sekolah turut menolak kesanggupan ini secara terangan kerana tidak ingin berkompromi dalam soal integriti dan tanggungjawab di luar portfolio penugasan.

Permasalahan utama kementerian yang dilihat adalah jawatan pengawal keselamatan itu sendiri tidak mempunyai sebarang kuasa khas perundangan yang diperuntukkan di luar kawasan sekolah.

Ada kemungkinan besar mereka juga tidak akan dilindungi insuran syarikat sekiranya berlaku sebarang kemalangan sewaktu mengawal lalu lintas.

Ironinya isu kemalangan maut melibatkan pelajar menyeberangi jalan berlaku saban tahun meresahkan emosi rakyat, tetapi tiada sebarang tindakkan dalam memuktamadkan klausa keperluan kursus warden trafik bertauliah sebagai prasyarat wajib bagi pengambilan pengawal keselamatan sekolah dalam kontrak oleh kementerian.

Lazimnya pengguna jalan raya sekarang hanya akan memberhentikan kenderaan atas rasa hormat terhadap pengawal keselamatan yang mengawal lalu lintas dan sikap memahami laluan berada di sekitar kawasan sekolah berdasarkan papan tanda yang dipasang.

Sekiranya berlaku senario malang tak berbau, pengawal keselamatan yang melaksanakan tugasan secara sukarela atau “upah berbayar” ini bakal diheret bagi bertanggungjawab di muka pengadilan oleh pihak waris pelajar.

Secara praktikal di lapangan, ada sesetengah PIBG yang membuat kutipan tertentu untuk mendapatkan perkhidmatan daripada Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan warden trafik swasta yang bertauliah.

Ada juga dalam kalangan ibu bapa yang secara sukarela bertugas bergilir-gilir membantu pengawal sekolah yang sedia ada.

Keharmonian usaha tersebut  sangat baik tetapi ia perlu juga mempertimbangkan faktor kemampuan ibu bapa atau penjaga yang berbeza taraf, komitmen kerja hakiki ahli persatuan dan lebih utama lagi persoalan sekali lagi punca kuasa perundangan.

Lanjutan daripada situasi tersebut, saya amat berharap agar isu ini mendapat perhatian pihak kementerian untuk menyusun semula secara proaktif klausa kontrak agar minimum seorang pengawal keselamatan memiliki kelayakan warden trafik bertauliah di setiap sekolah.

Alternatif lain yang mungkin boleh dipertimbangkan adalah memperkenalkan kadar subsidi atau menanggung perbelanjaan bagi sekurang-kurangnya seorang anggota RELA di setiap sekolah bagi tujuan yang sama.

Apalah gunanya jika sudah terhantuk berulang-ulang kali, kita semua masih belum terngadah. –UTUSAN

 

MUHAMMAD NOOR HAFIZ KASIM

Ahli PIBG Prihatin

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN