Penganggur warga Indonesia tak mengaku amang seksual kanak-kanak

Penganggur warga Indonesia tak mengaku amang seksual kanak-kanak

KOMPLEKS MAHKAMAH KUALA LUMPUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan, awal bulan lalu.

Tertuduh, Fendi Irawan, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Suhaila Haron.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun kira-kira pukul 3.40 pagi, pada 9 Februari lalu di sebuah kediaman di Puchong, dekat sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Kamarulzaman manakala tertuduh diwakili peguam bela, Khairunnisa Azzahrah Ghazalie.

Terdahulu, Nurul Nadia tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan ia adalah kesalahan berat melibatkan mangsa kanak-kanak serta risiko tertuduh melarikan diri memandangkan Fendi Irawan bukan rakyat tempatan.

“Pasport milik tertuduh juga tidak mempunyai cop keluar masuk dan masih menunggu pengesahan daripada pihak Jabatan Imigresen,” katanya.

Khairunnisa Azzahrah pula memaklumkan anak guamnya tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan berkaitan imigresen serta mempunyai hak untuk diikat jamin.

Mahkamah kemudian tidak menawarkan sebarang jaminan sementara menunggu pengesahan pasport milik tertuduh dan menetapkan 17 Mac ini tarikh sebutan semula kes.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN