KUALA LUMPUR: Penempatan pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di unit berisiko termasuk perolehan Kementerian Pertahanan (Mindef), akan dihadkan untuk tempoh 18 bulan.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, langkah itu bagi mengurangkan konflik kepentingan serta peluang penyalahgunaan kuasa.
Katanya, bagaimanapun tempoh had di unit berisiko boleh dipanjangkan bergantung kepada kredibiliti anggota atau pegawai terbabit.
“Walaupun tempoh hanya 18 bulan, kalau beliau masih boleh mencapai standard yang ditetapkan, memenuhi tata cara serta prinsip integriti pengurusan yang bersih, jujur dan amanah, maka dengan sokongan yang sewajarnya, tempoh tersebut boleh dipertimbangkan untuk dilanjutkan.
“Jadi, had maksimum ditetapkan sekurang-kurangnya 18 bulan itu dan ia boleh disemak semula,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera Ke-24 di Kem Sungai Besi, hari ini.
Terdahulu, Malek Razak melaksanakan pemeriksaan perbarisan tempur dua kontinjen
Tentera Darat Malaysia (TDM) , Tentera Laut Diraja Malaysia(TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melibatkan 30 pegawai dan 730 anggota lain-lain pangkat (LLP).
Dalam pada itu, beliau berkata, ATM juga akan mewajibkan pengisytiharan aset bagi jawatan pemerintahan dan pengurusan kewangan.
“Audit pengurusan standard ATM juga perlu dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan dengan audit khas dijalankan apabila terdapat petunjuk risiko.
“Setiap kelemahan yang dikenal pasti akan disusuli tindakan pembetulan dalam tempoh ditetapkan,” katanya.-UTUSAN










