Pemilik dashcam rakam kemalangan maut diminta tampil bantu siasatan - Utusan Malaysia

Pemilik dashcam rakam kemalangan maut diminta tampil bantu siasatan

MOHAMMAD Azlin Sadari memakaikan jaket keselamatan kepada penunggang motosikal semasa Kempen Op Selamat sempena Sambutan Tahun Baharu Cina Negeri Perak di Plaza Tol Teluk Intan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Pemilik kamera papan pemuka (dashcam) yang merakam kemalangan maut membabitkan dua buah kereta termasuk kenderaan peronda polis (MPV) di Jalan Ipoh-Lumut Isnin lalu, diminta tampil bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, kerjasama pemilik dashcam penting bagi melengkapkan proses siasatan.

“Setakat ini, kita masih belum menerima apa-apa daripada orang ramai dalam bentuk rakaman dashcam.

“Siasatan masih diteruskan untuk kita melihat punca kemalangan itu berlaku dan pihak polis akan telus dalam membentuk siasatan,” katanya dalam sidang akhbar semasa Kempen Op Selamat sempena Sambutan Tahun Baharu Cina Negeri Perak di Plaza Tol Teluk Intan, di sini hari ini.

Menurut beliau, dua saksi awam telah hadir memberi keterangan dan kertas siasatan akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kejadian sekitar pukul 3.35 petang itu, seorang kanak-kanak perempuan, Chong Zee Han, 3, maut selepas kereta dipandu ibunya terbabit dalam kemalangan dengan MPV polis di Jalan Ipoh-Lumut dekat Puncak Jelapang.

Berdasarkan siasatan awal, kereta Perodua Kelisa dipandu ibu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan MPV model Honda Civic 1.5L hingga menyebabkan berlaku kemalangan.

Nahas tersebut mengakibatkan kanak-kanak itu cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 4.32 petang hari sama ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ibu mangsa dan dua anggota polis yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN