Pemetaan kenal pasti sekolah terima limpahan pelajar tahun satu

Pemetaan kenal pasti sekolah terima limpahan pelajar tahun satu

FADHLINA Sidek (lima dari kiri) ketika menghadiri program perasmian dan Semarak Sejahtera Warga Emas Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Nibong Tebal di Sungai Acheh, Nibong Tebal, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Pemetaan atau mapping sedang dilakukan melibatkan kawasan-kawasan yang dijangka menerima limpahan pelajar tahun satu pada tahun depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sambutan terhadap kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke tahun satu dijangka memberangsangkan terutamanya di kawasan bandar.

Beliau berkata, jangkaan itu berdasarkan makluman awal diterima daripada ibu bapa yang menyambut baik inisiatif tersebut.

“Pemetaan kawasan-kawasan sekolah untuk kita segera buat tambah baik khususnya untuk fasiliti, kapasiti serta mengoptimumkan kawasan-kawasan yang kita jangka akan menerima limpahan pelajar ini pada tahun hadapan.

“Kita turut memberi tumpuan terhadap latihan guru bagi tujuan yang sama, susulan pengambilan seramai 20,000 orang guru baharu bagi memenuhi keperluan semasa ketika ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Perasmian dan Semarak Sejahtera Warga Emas Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Nibong Tebal semalam.

Pendaftaran kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke sekolah rendah dijadual bermula 15 Februari ini secara dalam talian.

Fadhlina berkata, fokus turut terarah kepada penyediaan bilik darjah dengan mengoptimumkan kapasiti sedia ada serta menambah kelas baharu menggunakan kaedah sistem binaan berindustri (IBS).

“Kedua-dua persiapan penting ini kita sedang mempersiapkannya dengan sangat tekun dan teliti,” katanya.

Sementara itu, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan memberi kuasa autonomi kepada pentadbir sekolah untuk menentukan sama ada mereka perlu meneruskan aktiviti berkaitan ketika cuaca panas selain membenarkan pemakaian baju sukan sepanjang masa atau sebaliknya.

“Ia diperingatkan pada setiap hari mengikut garis panduan yang ditetapkan serta nasihat Jabatan Meteorologi dan Kementerian Kesihatan.

“Mohon agar semua pentadbir sekolah untuk mengikuti garis panduan tersebut dari semasa ke semasa dan Insya-Allah, dengan adanya garis panduan itu, kita bolehkan uruskan perkara ini dengan baik,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN