PUTRAJAYA: Operasi Pembenihan Awan (OPA) telah dilaksanakan di negeri Johor melalui dua siri pelaksanaan pada semalam dan hari ini dalam usaha menangani keadaan penurunan paras air empangan di negeri itu akibat cuaca kering.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan, operasi itu diselaraskan pihaknya dalam Fasa Cuaca Kering Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 yang akan dilaksanakan sekali lagi pada Ahad ini di negeri berkenaan.
Menurutnya, OPA di negeri ini memberi fokus kepada tiga lokasi empangan iaitu Empangan Upper Layang, Empangan Pulai 1 dan Empangan Machap.
“NADMA menyelaras pelaksanaan operasi ini dari Pangkalan Udara Subang dengan kerjasama strategik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menyediakan pesawat C130 Hercules.
“Ini termasuk pasukan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) yang menyelaras aspek teknikal dan saintifik pembenihan awan,” katanya hari ini.
NADMA berkata, proses ini melibatkan penyemburan larutan garam (natrium klorida) ke dalam awan yang sesuai bagi menggalakkan pembentukan titisan hujan.
Katanya, kejayaan operasi ini amat bergantung kepada keadaan atmosfera dan kehadiran awan yang sesuai di lokasi sasaran.
“Mengikut laporan, selepas OPA siri pertama yang dibuat semalam, kawasan sekitar Empangan Upper Layang telah mengalami hujan.
“Namun maklumat cerapan peningkatan air hanya boleh dikeluarkan selepas semua siri OPA berakhir,” katanya.
Selain Johor, dua lagi negeri di utara semenanjung iaitu Perak dan Kedah juga mengalami penyusutan air empangan yang digunakan untuk membuat pengairan pertanian khususnya penanaman padi serta domestik akibat cuaca kering berterusan.
Oleh itu, bagi menangani keadaan ini daripada berlarutan, katanya, OPA akan diadakan pada esok dan lusa dengan memberi fokus kepada Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning bagi negeri Kedah manakala Empangan Bukit Merah di Perak.
“Pelaksanaan OPA ini diharapkan dapat membantu meningkatkan taburan hujan secara terkawal di kawasan tadahan air dan lokasi berisiko tinggi sekali gus menambah paras simpanan air di empangan sebagai sumber air mentah negeri.
“Ini bagi memastikan kesinambungan dan keselamatan bekalan air kepada pengguna domestik, pertanian dan perindustrian tidak mengalami risiko gangguan bekalan air,” katanya. – UTUSAN










