TEMERLOH: Seorang lelaki berusia 28 tahun yang memandu kenderaan mewah jenis Porsche Cayenne direman empat hari sehingga 17 Februari ini bagi membantu siasatan kes kemalangan maut yang mengorbankan sepasang suami isteri dalam kejadian berhampiran Stesen Minyak Petronas Taman Tualang Indah, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Nasyim Bahron berkata, perintah tahanan reman dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh termasuk menunggu keputusan ujian toksikologi terhadap suspek yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk.
Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 12.55 tengah malam di Kilometer 134 Jalan Kuala Lumpur–Kuantan itu, pasangan suami isteri berusia 34 tahun dan 35 tahun maut selepas kereta Proton Preve yang dinaiki mereka terbakar sejurus selepas dirempuh dari belakang.
Menurutnya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Temerloh menerima panggilan orang awam memaklumkan berlaku kemalangan melibatkan dua kenderaan dan dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati Proton Preve tersebut sedang bergerak dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuantan. Pada masa sama, sebuah Porsche Cayenne yang dipandu seorang lelaki turut bergerak dari arah sama.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, kenderaan Porsche Cayenne dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang Proton Preve berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Nasyim berkata, pelanggaran itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu kiri jalan dan Proton Preve terbakar menyebabkan pemandu serta penumpangnya meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, pemandu Porsche Cayenne mengalami kecederaan luka di tangan dan menerima rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian. – UTUSAN










