JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan seorang pemandu lelaki berusia 26 tahun selepas didakwa mencabul seorang penumpang wanita warga Vietnam ketika menyediakan perkhidmatan e-hailing awal bulan ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa semalam selepas rakaman video insiden itu tular di media sosial sejak Isnin lalu.
“Pemandu lelaki tempatan itu ditahan di sekitar bandar raya ini untuk membantu siasatan,” katanya.
Suspek kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini. Polis turut merampas dua telefon bimbit, sebuah kenderaan Perodua Bezza, serta kunci dan alat kawalan jauh.
Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Rakaman video tular memaparkan suspek menggerakkan tangannya seolah-olah mahu memegang kaki penumpang wanita yang duduk di kerusi belakang kenderaan. – UTUSAN










