Inisiatif mendekatkan mahasiswa dengan komuniti terus diperkasa apabila Universiti Polytech Malaysia (UPTM) berjaya menganjurkan Kejohanan PicklePop Pickleball 2025 bersama aktiviti khidmat masyarakat melibatkan anak yatim dalam usaha memupuk semangat kesukarelawanan, kepimpinan dan kerjasama dalam kalangan mahasiswa.

Kedua-dua acara itu melibatkan seramai 15 anak yatim daripada Rumah Kebajikan Baitul Ehsan Al-Khairi untuk menyertai aktiviti sukan dan riadah yang berlangsung di Repick, Chan Sow Lin, baru-baru ini.
Program anjuran seramai 18 pelajar Semester Akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) dalam Komunikasi Korporat itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada sukan baharu, malah menjadi platform memperkukuh nilai kemasyarakatan dalam kalangan mahasiswa.
Kejohanan berkenaan berlangsung meriah dengan penglibatan 48 peserta luar yang bertanding dalam kategori lelaki dan wanita, selain penyertaan anak-anak yatim yang pertama kali mencuba sukan pickleball ini.
Pengarah projek, Haziq Syahmi Saiful Akmal, 22, berkata idea menganjurkan pertandingan pickleball tercetus selepas kumpulannya menilai trend sukan yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat.

“Kami memilih sukan pickleball sebab ia sedang trending dan semakin ramai mencuba. Pada awalnya ada cadangan hendak anjurkan perlawanan badminton atau bola sepak, tapi akhirnya kami putuskan untuk cuba sesuatu yang lebih segar,” katanya.
Menurutnya, kumpulan penganjur turut melihat potensi untuk menggabungkan elemen khidmat masyarakat dengan pertandingan melalui penglibatan anak-anak yatim.
“Dalam masa sama, kami memang berniat nak gabungkan elemen khidmat masyarakat. Oleh itu kami ajak anak-anak yatim datang belajar dan bermain sekali. Oleh itu, pada satu hari pertandingan ini, ada dua objektif iaitu kejohanan sukan pickleball dan beriadah bersama mereka,” ujarnya.
Haziq berkata, penganjur turut mencabar diri mencari peserta 100 peratus daripada luar institusi sebagai usaha mengasah kemampuan komunikasi dan pengurusan acara.
“Kami buat promosi terbuka dan cabar diri untuk cari peserta 100 peratus daripada luar institusi. Ini adalah hasrat yang diminta oleh penyelia projek tahun akhir (FYP) kami, Nan Zakiah Megat Ibrahim. Alhamdulillah, sambutan sangat baik dan semua slot penuh,” katanya.
Kejohanan tersebut menyaksikan kategori lelaki dijuarai oleh pasangan Tan Kok Ann dan Cheng Chee Tiong (Pickle Storm) dan membawa pulang RM1,000, manakala kategori wanita dimenangi oleh Team AS-KPC, yang dianggotai Alaynna Tong dan Susan Teh.
Pemain Paling Bernilai Mat Bistro bernilai RM150 turut disampaikan kepada Akmal Firdaus Ahmad Rozi dan Chew Kenneth bagi kategori lelaki, serta Alaynna Tong dan Carmille Wong bagi kategori wanita, sebagai pengiktirafan atas prestasi cemerlang dan semangat kesukanan mereka sepanjang kejohanan.
Bagi anak-anak yatim yang hadir, program itu bukan sekadar aktiviti riadah, malah menjadi pengalaman baharu mencuba sukan yang tidak pernah mereka dengari sebelum ini.
Dzidane DzulkarnaIn, 18, mengakui teruja selepas mencuba sendiri sukan tersebut buat pertama kali dan menyifatkan pickleball sebagai sukan gabungan yang menarik.
“Mula-mula saya pun tidak tahu aktiviti apa yang sedang dimainkan. Apabila pegang paddle dan bola, saya rasa semakin berminat untuk belajar teknik dan syarat permainan. Lepas faham peraturan, memang jadi seronok nak main,” katanya.
“Saya rasa pickleball ni macam gabungan tiga sukan iaitu ping pong, tenis dan badminton. Apabila dah cuba, hilang rasa penat dan terus rasa hendak bermain lagi,” ujarnya.
Bagi Haziq Hakim Khairul, 16, pengalaman itu menimbulkan minatnya untuk kembali menyertai program seumpama itu pada masa akan datang.
“Sebelum datang memang tidak tahu langsung berkenaan sukan ni. Tapi apabila sudah cuba, rupanya seronok. Kalau boleh satu sekolah datang pun lagi seronok sebab boleh bertanding ramai-ramai,” katanya.
Dalam pada itu, kejohanan ini turut memberi peluang kepada mahasiswa UPTM memperkasakan kemahiran pengurusan acara apabila turut menganjurkan segmen keusahawanan dengan penyertaan tiga vendor tanpa bayaran.
“Vendor yang berminat kami ambil secara terbuka. Kami tidak kenakan apa-apa bayaran, siapa cepat dia dapat kerana tapak juga terhad di sekitar sini,” katanya.
“Rumah anak yatim jarang dapat peluang sertai aktiviti sebegini. Jadi kami rasa apa salahnya bawa mereka keluar, cuba sukan baharu dan beramah mesra. Ia bantu tanam sifat rendah diri dan ingat orang yang lebih susah,” ujarnya.
Menurut Haziq, PicklePop Pickleball Tournament 2025 berjaya mencapai objektif penganjuran dengan menggabungkan elemen kesukanan, komunikasi dan khidmat masyarakat.
“Kesemua tiga elemen dalam objektif kami iaitu kejohanan, khidmat masyarakat dan keusahawanan tercapai. Jadi, saya harap budaya menyantuni komuniti ini diteruskan oleh junior selepas kami,” katanya. –UTUSAN










