Centre for Inclusive Research on Community and Disability (CIRCLE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini mengadakan lawatan strategik ke Affin Islamic Bank Berhad di Menara Affin @TRX, di ibu negara bagi memperkukuh peranan Affin Islamic Bank Berhad sebagai rakan industri utama dalam memacu agenda kewangan Islam inklusif dan keselamatan siber untuk golongan muda universiti.
Melalui penganjuran Program Literasi Kewangan Islam Inklusif dan Keselamatan Siber bagi prasiswazah, Affin Islamic Bank Berhad memperluas impak strategiknya sebagai institusi perbankan Islam yang progresif dan bertanggungjawab, dengan menyediakan pendedahan awal kepada pelajar UPSI mengenai pengurusan kewangan patuh syariah, pencegahan penipuan digital.
Program tersebut juga membantu amalan keselamatan siber dalam transaksi kewangan moden. Inisiatif ini secara langsung menyokong objektif Affin untuk membina pelanggan masa hadapan yang celik kewangan, beretika dan berdaya tahan terhadap risiko keselamatan siber.
Lawatan ini disambut oleh Ketua Jabatan Shariah Affin Islamic Bank Berhad, Syed Muhammad Syed Mohamad Nasir.
Kerjasama bersama CIRCLE turut memberi nilai tambah kepada Affin Islamic Bank Berhad melalui akses kepada kepakaran akademik dan penyelidikan berfokus orang kurang upaya (OKU), yang berpotensi dimanfaatkan dalam pembangunan produk, perkhidmatan dan model perbankan mesra OKU berasaskan bukti.
Perbincangan strategik yang diadakan membuka ruang kepada projek penyelidikan bersama, penilaian impak sosial, serta reka bentuk program komuniti yang sejajar dengan kerangka alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
Menurut Pengarah CIRCLE, Dr. Hasrul Hosshan, penglibatan aktif Affin Islamic Bank Berhad sebagai rakan industri menunjukkan komitmen institusi tersebut dalam memperluas peranan perbankan Islam melangkaui fungsi kewangan semata-mata, kepada pembangunan insan, pendidikan pengguna dan perlindungan masyarakat.
Pendekatan universiti–industri ini juga memperkukuh kedudukan Affin sebagai rakan strategik yang menyokong agenda inklusiviti nasional.
Secara keseluruhan, lawatan tersebut menandakan permulaan kepada kerjasama berterusan antara CIRCLE dan Affin Islamic Bank Berhad, termasuk potensi pelaksanaan Program Tahunan Literasi Kewangan Islam Inklusif dan keselamatan siber, pembangunan inisiatif komuniti OKU, serta peluasan kolaborasi universiti–industri yang berimpak tinggi kepada masyarakat dan ekosistem perbankan Islam negara. – UTUSAN










