Pelajar UiTM angkat isu buli program interaktif di MRSM Kuantan

Pelajar UiTM angkat isu buli melalui program interaktif di MRSM Kuantan

Timbalan Pengetua Pembangunan Bakat MRSM Kuantan, Pahang; Rasmalenza Mohd. Rashid bersama pelajar UiTM dan pelajar tingkatan 3 MRSM semasa majlis penutup di MRSM Kuantan baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelajar semester lima Komunikasi Media Baharu, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam menganjurkan program khas berkaitan buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Hasrat itu dizahirkan menerusi penganjuran program See Media Through: Special Edition (SMT SE) sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang diadakan di MRSM Kuantan.

Mengangkat tema “Buli” iaitu bertemakan “Gully: Gurau atau Bully?” yang menekankan kepentingan memahami perbezaan antara gurauan dan perlakuan buli dalam kalangan pelajar sekolah.

 

 

Penasihat Program yang juga Pensyarah Kursus Undang-undang Media, Peraturan dan Etika, Dr. Mohd. Yusof Zulkefli berkata, bahawa pendekatan pendidikan mengenai isu buli perlu disesuaikan dengan realiti generasi muda kini dan tidak lagi hanya bergantung kepada kaedah tradisional.

Menurutnya, pendekatan interaktif yang berasaskan pengalaman sebenar lebih berkesan dalam meningkatkan pemahaman pelajar tentang cabaran berkaitan buli, yang sering dipengaruhi tekanan rakan sebaya dan penggunaan media sosial.

“Pendidikan mengenai isu buli perlu disampaikan dengan cara yang dekat dengan kehidupan pelajar, supaya mesej dapat difahami secara mendalam dan diterima dengan penuh empati,” ujarnya.

Beliau berkata, program seperti SMT SE bukan sahaja berperanan sebagai platform kesedaran, malah penting dalam membentuk nilai sahsiah, empati, serta tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar sekolah dan mahasiswa universiti.

“Kesedaran tentang impak tingkah laku membuatkan pelajar lebih cermat dan bertimbang rasa dalam perbuatan serta percakapan mereka,” katanya.

Sementara itu, menurut Penolong Pengarah Program, Muhammad Harith Danish Mohd Khalid, penganjuran SMT SE dirangka bagi membantu pelajar memahami bahawa perbuatan yang dianggap sebagai gurauan boleh membawa kesan negatif sekiranya dilakukan tanpa batas dan kepekaan terhadap perasaan orang lain.

“Pendekatan berasaskan komunikasi kreatif dan aktiviti interaktif digunakan bagi memastikan mesej yang disampaikan dapat difahami dengan lebih berkesan oleh pelajar sekolah,” katanya.

Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan kepada pelbagai pendekatan pembelajaran interaktif yang memberi ruang kepada mereka untuk memahami isu buli secara lebih menyeluruh melalui penglibatan aktif dan refleksi kendiri.

Penganjuran SMT SE turut memberi peluang kepada mahasiswa UiTM untuk mengaplikasikan pengetahuan teori dalam situasi sebenar, sekali gus memperkukuh kemahiran komunikasi, kepimpinan dan pengurusan program.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan SMT SE mencerminkan komitmen UiTM dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti melalui inisiatif pendidikan yang berfokus, relevan dan berimpak tinggi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN