Seramai 35 pelajar Diploma Geomatik (DGU) daripada Politeknik Ungku Omar (PUO, Ipoh menjayakan aktiviti praktikal cerapan anak bulan bagi menentukan permulaan puasa tahun 1447H/2026M yang diadakan di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Lumut, Perak, baru-baru ini.
Program tersebut diketuai oleh Sr Gs Mohd. Zahiruddin Mohamed Na’aim bersama barisan pensyarah pengiring berpengalaman iaitu Sr Siti Kamis, Mohd Yusof, Sr Dr. Masreta Mohd @ Basri, dan Mohd. Omar Mohamed Hassan.
Aplikasi ‘Astronomi Lapangan’ secara realiti ini merupakan komponen penting dalam kursus Astronomi Lapangan. Pelajar diberi tunjuk ajar secara intensif mengenai teknik-teknik mencerap anak
bulan yang tepat.
Pelajar telah mengaplikasikan kemahiran mengendalikan peralatan teknologi tinggi termasuk:
*Total Station & Theodolite: Untuk menentukan kedudukan azimut dan altitud hilal.
*GPS Survey: Bagi mendapatkan koordinat lokasi cerapan yang jitu selari dengan data astronomi.
Melalui bimbingan Mohd. Zahiruddin dan pasukan, pelajar didedahkan kepada prosedur operasi standard (SOP) cerapan rasmi yang memerlukan disiplin dan ketepatan tinggi.
Pengarah Politeknik Ungku Omar, Salmi Che’ Meh menyatakan kebanggaan beliau terhadap dedikasi barisan pensyarah dan pelajar dalam mengintegrasikan teknologi ukur dengan tuntutan syarak.
“Program cerapan ini bukan sekadar aktiviti luar kelas, tetapi merupakan makmal lapangan yang kritikal bagi pelajar Geomatik. Kehadiran pakar dan pasukan memastikan pelajar mendapat bimbingan langsung dalam bidang Geomatik.
“Kami mahu graduan PUO bukan sahaja mahir dalam pemetaan bumi, malah kompeten dalam aspek astronomi yang memberi impak besar kepada komuniti dan negara,” ujar beliau.
Selaras dengan matlamat PUO dalam memperkasa kemahiran teknikal dan kerjasama strategik selain memenuhi keperluan akademik, program ini menjadi platform bagi memperkukuh kerjasama antara PUO dan agensi agama negeri dalam memperkasakan bidang falak di Malaysia.-UTUSAN









