Pekerja restoran lemas setelah diserang sawan

Pekerja restoran lemas setelah diserang sawan

ANGGOTA bomba dari unit PPDA membawa naik mayat pekerja restoran yang ditemukan lemas di Sungai Kedah berhampiran Stadium Darul Aman di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang pekerja sebuah restoran berhampiran tebing Sungai Kedah, di sini ditemukan lemas setelah dia dilaporkan terjatuh ke dalam sungai berkenaan, semalam.

Dalam kejadian sekitar 8.19 malam itu, mangsa, Mohd. Asuad Abdul Rashid, 35, dikatakan mengalami serangan sawan ketika bekerja, sebelum dia berlari menuju ke arah sungai tersebut dari tempat kerjanya yang berjarak kira-kira 10 meter.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, mayat ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra yang menyelam ke dasar sungai kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.

“Saksi memaklumkan pada pukul 8.10 malam, dia melihat mangsa menuju ke sungai dan terjatuh di sungai itu. Saksi ini kemudiannya telah menelefon pihak bomba dan polis untuk mendapatkan bantuan.

“Siasatan terhadap majikan mangsa mendapati  pemuda ini ada penyakit sawan dan pada masa kejadian, dia sedang diserang sawan sebelum tiba-tiba berlari ke arah sungai dan jatuh ke dalam sungai tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Syed Basri berkata, mayat dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.

Sementara itu, Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, pencarian mangsa dilakukan di permukaan air oleh anggota BBP Alor Setar, sebelum PPDA menyelam ke dasar sungai bermula pukul 10 malam.

“Mangsa ditemui di dasar sungai berkenaan pada kedalaman empat meter dan berjaya dibawa naik ke tebing meskipun anggota turut berdepan cabaran ketika menyelam disebabkan terdapat batang dan tunggul kayu di dasar sungai selain mata kail pemancing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN