ALOR SETAR: Seorang pemuda dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya dalam kejadian awal bulan ini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan dan tidak dijatuhi hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norfatin Azera Norhisham, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh, Amirul Shafiq Shamshul Zahari, 29, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Zahrullail Basir, 52, di sebuah rumah di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, antara pukul 3.15 pagi hingga 8 pagi, 2 Februari lalu.
Mahkamah menetapkan 11 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita berusia 52 tahun ditemukan maut di rumahnya dengan beberapa kesan tikaman. Suspek kemudian ditahan dalam sebuah bas persiaran di Lebuhraya Utara-Selatan ketika dipercayai dalam perjalanan ke Selangor.
Siasatan awal polis mendapati masalah kewangan dan sikap panas baran dipercayai menjadi antara motif kejadian.-UTUSAN










