Pejabat Parlimen Gombak, Yayasan MBI salur RM1.6juta, imarah 137 institusi agama - Utusan Malaysia

Pejabat Parlimen Gombak, Yayasan MBI salur RM1.6juta, imarah 137 institusi agama

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Kerajaan Negeri Selangor melalui Yayasan Menteri Besar Incorporated (Yayasan MBI) dan Pejabat Ahli Parlimen Gombak penyaluran dana sumbangan Ihya Ramadan berjumlah RM1.6 juta.

Peruntukan tersebut diserahkan kepada 137 buah institusi agama di seluruh Parlimen Gombak bagi memastikan aktiviti ibadah dan kebajikan sepanjang Ramadan dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukkan tersebut adalah hasil daripada kestabilan ekonomi negeri yang terus mencatatkan pertumbuhan positif.

“Peningkatan gaji penengah (median) rakyat Selangor yang kini mencecah lebih RM10,000 sebagai bukti keberhasilan tadbir urus ekonomi negeri. Bagaimanapun, kemajuan material mestilah diimbangi dengan kekuatan rohani berteraskan prinsip Ihsan.

“Dunia di tangan, tetapi hati bersama Tuhan. Kita mahu Selangor bukan sahaja megah dengan angka ekonomi, tetapi juga hebat dalam pegangan iman dan keharmonian sosial.

“Secara tidak langsung ia dapat meringankan beban kos operasi masjid dan surau yang lazimnya meningkat pada bulan Ramadan berikutan pengisian aktiviti yang bermula seawal waktu Subuh sehingga solat Tahajjud di tengah malam,” katanya.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata demikian ketika berucap menyampaikan sumbang Ihya Ramadan bagi Parlimen itu di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati.

Tambahnya, kadar sumbangan merangkumi 22 buah majlis yang masing-masing menerima RM20,000, surau Jumaat (20 buah) RM15,000, surau (77 buah) RM10,000 serta madrasah dan musolla (18 buah) RM5,000.

Sebagai nilai tambah kepada keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan umat Islam, Amirudin turut mengumumkan kenaikan Insentif Muasasah Haji daripada RM1,000 kepada RM1,500 seorang bagi tahun ini.

Menurutnya, kenaikan ini bertujuan membantu jemaah haji kategori muasasah dalam membuat persiapan logistik dan keperluan harian di Tanah Suci kelak.

“Pihak MBI dan Pejabat Parlimen Gombak berharap agar sumbangan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk keselesaan jemaah, termasuk penganjuran program khusus bagi golongan wanita, belia, serta anak-anak di kawasan Gombak.” ujarnya

Pada majlis yang sama, kerajaan negeri turut menegaskan komitmen mematuhi titah Sultan Selangor agar masjid dan surau kekal sebagai zon bebas politik.

Malah pihak pengurusan institusi agama diingatkan supaya tidak membiarkan premis mereka menjadi medan sentimen kepartian yang boleh memecahbelahkan perpaduan kariah.

“Fokus utama harus diberikan kepada pendidikan agama yang sederhana (wasatiyyah) dan mengelakkan pendekatan ekstrem,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN