SUNGAI BULOH: Polis mengenal pasti sebanyak 3,148 kawasan titik panas (hotspot) pencegahan jenayah pecah rumah di seluruh negara berdasarkan analisis terkini Sistem Pemantauan Bandar Selamat (SPBS).
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya memberi perhatian serius kepada aspek pencegahan jenayah pecah rumah pada Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina.
Katanya, unit kereta peronda polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) digerakkan sepenuhnya bagi memastikan pencegahan jenayah dilaksanakan secara berterusan dan berfokus.
“Sejumlah 2,670 unit MPV dan 1,800 unit URB membabitkan 6,543 anggota polis akan digerakkan untuk tugas rondaan sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina.
“Rondaan akan dijalankan 24 jam secara syif merangkumi 1,129 kawasan di seluruh kontinjen. Fokus rondaan adalah taman-taman perumahan, premis perniagaan, pusat ibadat, sekolah serta kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai hot spot (titik panas),” katanya pada Majlis Pelancaran Op Selamat 25 di RnR Sungai Buloh, hari ini.
Menurutnya, menerusi analisis terkini SPBS, sebanyak 3,148 kawasan `hotspot’ dikenal pasti di seluruh kontinjen, dengan Selangor merekodkan 764 kawasan dan 446 kawasan di Kuala Lumpur.
“Keberkesanan rondaan pencegahan jenayah sangat bergantung kepada kerjasama orang ramai. Analisis kes menunjukkan kebanyakan kes pecah rumah membabitkan kediaman yang penghuninya tidak membuat laporan pergerakan kepada polis.
“Orang ramai disaran melaporkan pergerakan mereka di balai polis berhampiran atau dalam talian melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP). Maklumat itu penting bagi polis untuk merancang penugasan dan rondaan lebih efisien,” katanya. – UTUSAN










