BANGI: Pas menafikan wujud usaha untuk menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, malah perkara itu tidak dibangkitkan dalam pemukiman tertutup parti itu bermula Jumaat lalu.
Beliau berkata, Pas kekal dengan pendirian untuk meneruskan kerjasama dalam gabungan PN demi perpaduan semua pihak.
“Tak betul, tak betul. (Pas) hendak meneruskan Perikatan Nasional, perpaduan,” katanya Ketika ditemui selepas Program Pemukiman Pas, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Abdul Hadi turut menegaskan bahawa Pemukiman Pas secara tertutup yang berlangsung sejak kelmarin tidak membincangkan isu lain berhubung masa depan parti tersebut.
Kenyataan itu sekali gus menolak spekulasi bahawa Pas akan meninggalkan PN dan bergerak solo pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
Semalam, bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad mendedahkan serangan secara konsisten dari dalam dan luar parti serta parti komponen PN terhadap Presiden Bersatu itu bertujuan memaksa beliau berundur.
Katanya, ramai sedang menunggu untuk bertepuk tangan menyaksikan projek ‘Muhyiddin exit’ (Muhyiddin keluar) berjaya termasuk dari kem Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa koalisi PN membabitkan empat parti komponen kekal utuh.
“Kita sudah berkoalisi, mana mungkin kita ketepikan sesiapa. Empat-empat parti dalam PN masih utuh.
“PN kekal memerintah di empat negeri termasuk Perlis dan tidak berdepan sebarang masalah dalaman setakat ini. Di peringkat negeri pun kita masih PN. Tak ada masalah,” katanya.
Beliau berkata, Pas melalui Biro Pemerkasaan Parti merangka pelbagai program tahunan bermula awal tahun ini sebagai persiapan berterusan menghadapi landskap politik semasa termasuk jangkaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
“Tiada sebarang keputusan muktamad atau perbincangan kritikal dibuat setakat ini.
“Permukiman berkenaan merupakan acara tahunan biasa yang dilaksanakan setiap awal tahun yang diterajui Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dengan merangkumi perancangan dari peringkat awal sehingga hujung tahun hadapan.
“Program ini bersifat umum dan tahunan, membabitkan peringkat negeri dan persediaan parti menghadapi pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata, Pas turut membincangkan beberapa pilihan bagi menghadapi pilihan raya akan termasuk pertandingan secara gabungan atau solo, namun tiada sebarang ketetapan muktamad dibuat setakat ini.
“Itu biasa dalam parti, ada pilihan A, B dan C. Tetapi belum ada keputusan akhir,” katanya. – UTUSAN










