KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat di bawah kumpulan Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) masih berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) setakat ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, bagaimanapun syarikat-syarikat tersebut telah dan sedang dikenakan tindakan penguatkuasaan serta siasatan oleh pihak berkuasa berkaitan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
Katanya, hasil pemeriksaan fizikal dijalankan SSM di pejabat berdaftar GISB Holdings Sdn. Bhd. mendapati, sebanyak 17 syarikat dikesan menggunakan nama GISB dengan aktiviti perniagaan melibatkan pelbagai sektor termasuk restoran, konsultansi, agensi pelancongan, hartanah dan peruncitan.
“Buat masa ini pendaftaran syarikat-syarikat GISB masih wujud di bawah rekod SSM sementara menunggu keputusan serta arahan rasmi pihak pendakwaan.
“Kerajaan memberi jaminan tiada mana-mana syarikat akan dilindungi sekiranya terbukti melanggar undang-undang dan sebarang tindakan lanjut termasuk pendakwaan atau pembatalan pendaftaran akan dilaksanakan sepenuhnya mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai status perniagaan GISBH selepas anggotanya didakwa dan dijatuhi hukuman atas pertuduhan menyertai kumpulan jenayah terancang.
Armizan berkata, kerajaan memandang serius sebarang penglibatan mana-mana entiti perniagaan dengan aktiviti jenayah terancang.
Katanya, dari sudut perundangan korporat, status perniagaan sesuatu syarikat adalah tertakluk kepada siasatan, pendakwaan serta keputusan mahkamah berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Sehingga 1 Februari 2026, SSM telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan sebanyak 50 kompaun terhadap kumpulan syarikat GISB dan daripada jumlah itu, 27 kompaun masih belum dijelaskan.
“Kesalahan yang dikenal pasti melibatkan kegagalan menyerah simpan Penyata Tahunan, kegagalan menyediakan Penyata Kewangan serta kegagalan mempamerkan nama dan nombor pendaftaran syarikat di tempat perniagaan.
“Kesalahan itu tertakluk di bawah peruntukan undang-undang seperti Seksyen 165 Akta Syarikat 1965 dan Seksyen 68 Akta Syarikat 2016, Seksyen 143 Akta 1965 dan Seksyen 248(1)(b) Akta 2016 serta Seksyen 30(1) Akta Syarikat 2016,” katanya.
Tambah beliau, pada 9 Oktober 2024, SSM telah membuka kertas siasatan terhadap 12 syarikat utama di bawah kumpulan GISB bagi ketidakpatuhan terhadap Akta Syarikat 2016.
“SSM kemudian melengkapkan kertas siasatan dan mengemukakannya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 4 Ogos 2025 dan sedang menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara.
“Mesyuarat pada 19 Disember 2024 turut memutuskan semua tindakan pendakwaan termasuk yang berkaitan pengubahan wang haram akan diselaraskan secara berpusat oleh AGC,” katanya.-UTUSAN










