PARLIMEN: Syarat merit pinjaman Mara bukan bebankan B40

PARLIMEN: Syarat merit pinjaman Mara bukan bebankan B40

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rasionalisasi syarat merit pinjaman pelajaran Majlis Amanah Rakyat (Mara) merupakan instrumen kawalan kualiti bagi memastikan pelajar yang ditaja mempunyai keupayaan menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, rasionalisasi syarat merit tersebut bukan bertujuan membebankan pelajar kerana Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) amat prihatin terhadap kekangan yang dihadapi golongan B40.

Katanya, KKDW melalui Mara sentiasa komited memastikan akses pendidikan tinggi khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kekal inklusif dan mampan kepada semua golongan terutama pelajar daripada keluarga B40 serta luar bandar.

“Setakat ini pelaksanaan syarat merit pinjaman pelajaran Mara masih belum dilaksanakan. Mara akan memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan pelajar khususnya daripada golongan B40.

“Ia selaras dengan mandat KKDW untuk menyediakan kemudahan pinjaman pelajaran kepada pelajar bumiputera kurang berkemampuan.

“Setakat Disember 2025, Mara telah mengeluarkan tawaran baharu pinjaman pelajaran kepada seramai 21,307 pelajar, dengan 19,034 orang atau 90.6 peratus daripadanya merupakan pelajar daripada golongan B40,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai sama ada rasionalisasi tindakan KKDW terhadap pelaksanaan syarat merit pinjaman pelajaran Mara yang didakwa membebankan pelajar khususnya B40 selari dengan usaha memartabatkan pendidikan tinggi TVET di institusi Mara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN