KUALA LUMPUR: Pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 1998 merupakan antara peristiwa penting dalam topik ‘Politik Moden’ yang dicadang untuk dimasukkan dalam silibus mata pelajaran Sejarah di sekolah.
Mohd. Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) berkata, selain sejarah kemerdekaan negara, generasi baharu juga perlu didedahkan dengan perkembangan politik moden tanah air.
“Beberapa peristiwa signifikan dalam landskap politik negara dimasukkan dalam silibus baharu subjek Sejarah termasuk Himpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
“Politik moden kita juga perlu didedahkan kepada generasi baharu contohnya pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga kemunculan gerakan reformasi pada 1998, Himpunan Bersih sebagai modul mengenai pilihan raya yang adil dan bersih.
“Begitu juga Langkah Sheraton dan himpunan berkaitan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang dahulunya dianggap zalim sebelum ia dimansuhkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab cadangan itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pembangunan kurikulum baharu bagi subjek Sejarah dijalankan mengikut proses yang telah ditetapkan.
“Berhubung cadangan daripada Yang Berhormat Hulu Langat, kami mengambil maklum dan setiap pelakaran kurikulum sesuatu mata pelajaran akan melalui proses sewajarnya.
“Peristiwa sejarah yang disebutkan mungkin sebahagian daripada sejarah negara, namun bagi memastikan kurikulum Sejarah kekal relevan dan seimbang, pembangunan kurikulum dilaksanakan secara telus dan berasaskan pandangan pakar sejarah, ahli akademik serta institusi seperti Arkib Negara.
“Pada masa sama, sesi libat urus dengan guru, badan profesional dan masyarakat turut dijalankan bagi memastikan kandungannya tepat dan relevan,” katanya.-UTUSAN










