KUALA LUMPUR: Kerajaan melunaskan bayaran balik lebihan cukai sebanyak RM56 bilion bagi tempoh tiga tahun terkini antara 2023 hingga 2025.
Jumlah itu 50 peratus lebih tinggi berbanding RM37 bilion yang dibayar bagi tempoh 2020 hingga 2022.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bayaran balik lebihan cukai yang diselesaikan pada tahun 2025 sahaja mencatat jumlah tertinggi dalam tempoh lima tahun iaitu RM22.45 bilion.
Katanya, sebahagian bayaran balik berjumlah RM7.5 bilion telah dibuat pada Disember 2025 berbanding komitmen awal RM4 bilion yang diumumkan Perdana Menteri pada 6 Disember 2025.
“Semua kes lebihan cukai bagi tahun 2022 dan sebelumnya yang boleh dibayar telah diselesaikan pada 2025, melibatkan 3.7 juta kes berbanding 2.7 juta kes pada 2024.
“Walaupun kerajaan berjanji untuk menyelesaikan kes bagi tahun taksiran 2023 pada suku pertama 2026, kita yakin dapat menyelesaikannya lebih awal iaitu pada Februari 2026.
“Sehingga 10 Februari 2026, sebanyak RM5.4 bilion bayaran balik telah dibuat melibatkan 38,629 kes,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai jumlah bayaran balik lebihan cukai yang telah dibayar setakat ini, baki yang masih belum diselesaikan serta garis masa untuk melunaskan sepenuhnya bayaran balik lebihan cukai tersebut.
Menurut Amir Hamzah, bayaran balik lebihan cukai bagi tahun 2024 pula disasarkan untuk diselesaikan sebelum hujung tahun ini.
“Bayaran balik tanpa mengira usia kes akan terus dibuat kepada semua pembayar cukai selain syarikat, terutama pembayar cukai individu.
“Kerajaan Madani mewarisi jumlah lebihan bayaran cukai yang tinggi, namun tetap menunaikan tanggungjawab mengendalikan kes bayaran balik cukai dengan sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata, seperti termaktub dalam perundangan negara, lebihan bayaran cukai yang dikutip Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu dibayar balik kepada pembayar cukai berdasarkan prosedur ditetapkan.
“Ia mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 dan Akta Setem 1949.
“Bagi memastikan bayaran balik dapat dibuat mengikut tempoh sepatutnya, pelbagai pendekatan dilaksanakan termasuk pengagihan bayaran balik berasaskan keutamaan usia tunggakan menggunakan konsep ‘first in first out’.
“Selain itu, pendekatan melalui bayaran penuh bagi tunggakan lebihan cukai individu serta keutamaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) atau syarikat yang menghadapi masalah aliran tunai.
Tambah beliau, kerajaan komited memastikan bayaran balik lebihan cukai dilaksanakan sepenuhnya secara adil, telus dan saksama dengan mengambil kira kepentingan semua pembayar cukai.
“Langkah ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh kecekapan pentadbiran cukai serta memastikan hak pembayar cukai dilindungi selaras dengan agenda reformasi fiskal Kerajaan Madani,” katanya.-UTUSAN










