PARLIMEN: Pindaan SOSMA dibentang Jun atau Julai 

PARLIMEN: Pindaan SOSMA dibentang Jun atau Julai 

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bakal dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun atau Julai ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kertas Kabinet bagi membolehkan kementeriannya memulakan gerak kerja pindaan akta berkenaan termasuk kajian dan libat urus telah dibentangkan pada Jumaat lalu.

Katanya, pindaan tersebut akan melibatkan pengkelasan kesalahan berdasarkan tahap keseriusan di bawah akta berkenaan.

Di bawah peruntukan sedia ada, katanya, kira-kira 73 kesalahan direkodkan di bawah SOSMA diuruskan mengikut satu hala saja khususnya membabitkan Seksyen 13 berkaitan ikat jamin dan Seksyen 30 berhubung tempoh menunggu prosiding yang lama.

“Kita ada cadangan sehingga diperakukan Jemaah Menteri, kita akan membuat pengkelasan bergantung pada tahap seriusnya kesalahan itu.

“Jika satu tahap kesalahan yang membawa hukuman penjara yang berat, 20 atau 30 tahun misalnya, kita cenderung mencadangkan supaya tidak ada ikat jamin dalam tempoh yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, bagi kesalahan yang hukumannya jauh lebih ringan, penentuan sama ada ikat jamin atau tidak boleh dilakukan majistret atau dicadangkan Timbalan Pendakwa Raya. Ini antara perubahan berbanding status sekarang ini,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin berkata, KDN turut bercadang mewujudkan mahkamah khas bagi kes SOSMA bukan kerana tahap keseriusannya, tetapi disebabkan prosiding kes yang lazimnya mengambil masa terlalu panjang.

“Kita mahu mempercepatkan proses berkenaan kerana kritikan paling keras terhadap SOSMA adalah mereka yang terbabit. Dalam keadaan tidak dibenarkan ikat jamin, tempoh prosiding yang lama untuk menunggu perbicaraan dianggap sebagai satu hukuman,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN