PARLIMEN: Laporan Audit dedah 273 isu peringkat Persekutuan, negeri

PARLIMEN: Laporan Audit dedah 273 isu peringkat Persekutuan, negeri

WAN SURAYA WAN MOHD RADZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mendedahkan 273 isu baharu membabitkan pengurusan kewangan serta tadbir urus di peringkat Persekutuan dan negeri.

Laporan tersebut mengandungi 15 jilid, meliputi penyata kewangan tahun 2024 agensi Persekutuan, aktiviti kementerian, jabatan dan badan berkanun Persekutuan, serta pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Persekutuan, menurut Jabatan Audit Negara dalam satu kenyataan.

Selain itu, ia merangkumi 13 jilid berkaitan kementerian, jabatan dan agensi negeri, serta pengurusan syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 143 daripada 145 penyata kewangan agensi Persekutuan bagi tahun 2024 telah dikemukakan dan diperakui oleh Ketua Audit Negara.

Katanya, daripada 143 penyata yang diperakui itu, sebanyak 128 menerima pendapat tanpa ubah suai, manakala 15 lagi diberikan pendapat berteguran (modified opinion).

“Bidang audit utama (KAA) dalam laporan tersebut turut membangkitkan satu ketidakaturan serius melibatkan kutipan hasil dan perbelanjaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” jelasnya.

Dalam pada itu, Wan Suraya berkata, LKAN turut mendedahkan terdapat satu perjanjian kerjasama yang dimeterai oleh universiti berkenaan tidak mendapat kelulusan Menteri Kewangan seperti yang dikehendaki di bawah perlembagaan UKM dan tiada kuasa yang sah untuk mengutip yuran pelajar berkaitan.

Katanya, audit itu juga mendapati, berlaku perbelanjaan tidak teratur serta ketidakpatuhan terhadap prosedur kewangan yang ditetapkan.

“Perkara tersebut telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Ketidakaturan Serius (JTKS) pada 6 Februari, yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Audit Negara dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, selaras dengan peluasan kuasa di bawah Akta Audit 1957.

“Bidang audit utama (KAA) turut menekankan isu kebimbangan kelangsungan operasi (going concern) di Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM), yang kedudukan kewangannya menunjukkan ketidakupayaan untuk memenuhi obligasi kerana asetnya tidak mencukupi bagi menampung liabiliti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, daripada 852 entiti peringkat Persekutuan yang diwartakan dan dianalisis, audit mendapati empat syarikat beroperasi tidak selaras dengan objektif penubuhan mereka, manakala 13 syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) tidak membayar dividen walaupun berstatus solven dan mencatat keuntungan.

“Sembilan syarikat dikenal pasti mempunyai isu kelangsungan operasi dan menerima geran Persekutuan, manakala 208 syarikat sedang dalam proses penggulungan, pembubaran atau tidak lagi berkaitan dengan kerajaan.

“Laporan itu turut memperincikan audit terhadap Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), serta audit prestasi ke atas program berimpak tinggi termasuk program Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi serta projek pembangunan MyDigital ID, dengan tumpuan kepada pematuhan dan kawalan dalaman.

“Laporan berkenaan juga meliputi audit prestasi tujuh program dan aktiviti di enam negeri iaitu Kelantan, Pahang, Sarawak, Sabah, Terengganu dan Kedah,” jelasnya.

Selain itu beliau berkata, sebanyak 18 syarikat berkaitan kerajaan negeri telah diaudit, manakala e-SelfAudit dilaksanakan ke atas 1,004 syarikat yang diwartakan di 13 negeri. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN