KUALA LUMPUR: Industri perfileman negara berjaya mencatatkan pelaburan asing berjumlah RM2.75 bilion menerusi pelaksanaan Film in Malaysia Incentive (FIMI) bagi tempoh 2013 hingga 2025.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pelaburan itu telah mewujudkan kira-kira 31,050 peluang pekerjaan yang sebahagian besarnya memanfaatkan tenaga kerja tempatan berkemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merangkumi kru teknikal, animasi, pasca produksi serta sokongan produksi.
Katanya, sumber pelaburan diperoleh dari beberapa negara utama seperti Amerika Syarikat (AS), China, India dan Australia yang menjalankan aktiviti penggambaran di Malaysia.
“FIMI merupakan insentif kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang menawarkan rebat tunai antara 30 hingga 35 peratus kepada syarikat produksi tempatan dan antarabangsa bagi perbelanjaan penggambaran di Malaysia.
“Insentif ini bukan sahaja bertujuan menarik pelaburan asing dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada kru tempatan, malah turut mempromosikan Malaysia sebagai lokasi penggambaran antarabangsa.
“Antara projek penggambaran yang dilaksanakan di Malaysia termasuk ‘Transformer Cyber World’ (animasi) (2025), ‘Survival Series Europe’ (program realiti) (2025), ‘Tempting Fortune’ (program realiti) (2025), ‘Lord of The Flies Series’ (2026) dan sebagainya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Nie Ching menjawab soalan Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berhubung jumlah pelaburan asing yang berjaya ditarik melalui FIMI.
Nie Ching berkata, FINAS sentiasa melaksanakan usaha berterusan untuk menaikkan industri perfileman negara ke peringkat global termasuk penyediaan sokongan kewangan dan suntikan modal kepada penerbit tempatan.
“Sokongan kewangan turut disediakan kepada penerbit tempatan melalui inisiatif seperti Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang bertujuan menggalakkan penghasilan kandungan berdaya cipta tinggi, membangunkan modal insan serta menghasilkan harta intelek (IP) Malaysia yang berdaya saing.
“Antara karya tempatan yang telah berjaya menembusi perkhidmatan penstriman media (OTT) antarabangsa termasuk ‘Takluk: Lahad Datu’, ‘Blood Brothers: Bara Naga’, ‘Abang Adik’ dan ‘Malbatt: Misi Bakara’, sekali gus membuktikan keupayaan kandungan kreatif Malaysia diterima di pasaran global,” katanya.-UTUSAN









