PARLIMEN: Guna MyKad beli minyak masak paket bersubsidi

PARLIMEN: Guna MyKad beli minyak masak paket bersubsidi

ARMIZAN MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembelian minyak masak paket bersubsidi menggunakan kad pengenalan (MyKad) merupakan alternatif kepada aplikasi Mobile eCOSS bagi memudahkan rakyat khususnya warga emas dan golongan tidak memiliki telefon pintar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, sistem eCOSS akan diintegrasikan dengan platform MyKasih serta mengkaji penggunaan MyKad generasi baharu yang mempunyai kod QR.

Katanya, langkah itu antara usaha kementerian menangani kebimbangan pelaksanaan sistem berkenaan yang didakwa menjejaskan warga emas, golongan miskin serta penduduk luar bandar yang tidak mempunyai capaian internet.

“Sistem eCOSS juga akan diintegrasikan dengan platform MyKasih untuk membolehkan opsyen tambahan pembelian mengguna pakai MyKad sebagaimana Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk merealisasikan hasrat ini dan mengkaji penggunaan MyKad generasi baharu yang akan diperkenalkan dan mempunyai kod QR sebagai alternatif kepada Mobile eCOSS.

“Ini bagi membolehkan pembelian minyak masak paket bersubsidi 1 kilogram (kg) dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib (PN-Maran) yang meminta kerajaan menyatakan penyelesaian terhadap aduan rakyat berhubung penggunaan aplikasi sistem mudah alih (eCOSS) bagi pembelian minyak masak bersubsidi walaupun satu paket.

Armizan berkata, penggunaan Mobile eCOSS telah mula diperluaskan secara berperingkat sejak Mei tahun lalu.

Katanya, pelaksanaan rintis itu dimulakan di Putrajaya, di premis Program Jualan Rahmah Madani, di Johor dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor dan beberapa premis terpilih di negeri-negeri lain.

“Pada peringkat rintis ini, pembelian secara manual masih dibenarkan termasuk perekodan transaksi secara manual, selain kaedah bersesuaian akan dikenal pasti secara bersasar di premis-premis peruncitan terpilih yang masih belum mempunyai capaian kemudahan internet.

“Selain itu, bantuan dan sokongan di premis jualan akan diberikan oleh peruncit dengan modul khas bagi kumpulan warga emas atau golongan miskin yang tidak mempunyai telefon mudah alih dengan rangkaian internet,” katanya.

Katanya, pelaksanaan sistem berkenaan bertujuan memastikan subsidi minyak masak paket benar-benar dimanfaatkan rakyat serta mengekang ketirisan.

Menurut beliau, KPDN akan sentiasa menambah baik pengurusan eCOSS sama ada melalui aplikasi Mobile eCOSS atau opsyen-opsyen lain bagi memastikan perekodan secara digital di setiap rantaian pengagihan bekalan dan transaksi jual beli.

“Langkah itu untuk memastikan subsidi ini dimanfaatkan oleh rakyat sekaligus mengekang ketirisan subsidi minyak masak paket sama ada melalui aktiviti penyelewengan dan penyeludupan yang telah berlaku sejak sekian lama,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN