KUALA LUMPUR: Bantuan kewangan yang disalurkan kepada pelajar Palestin yang melanjutkan pengajian di negara ini tidak melibatkan peruntukan dana kerajaan, sebaliknya sumbangan sektor korporat dan orang ramai.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, bantuan berkenaan disalurkan melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di bawah kelolaan Kementerian Luar.
Katanya, antara penyumbang dana berkenaan adalah Yayasan Raja Zarith Sofiah, Majlis Agama Islam Johor, Yayasan Al-Bukhary, Malaysian Relief Agency serta beberapa yayasan di bawah institusi pengajian tinggi (IPT).
“Saya ingin menegaskan ia tidak menggunakan dana kerajaan. Bantuan ini diwujudkan berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 November 2023.
“Sumbangan diberikan oleh masyarakat awam dan sektor korporat dengan pengurusan dana dikendalikan Kementerian Luar bagi memastikan penyaluran dan kutipan dijalankan secara telus,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai rasionalisasi kerajaan membantu pelajar asing ketika masih terdapat pelajar tempatan B40 yang memerlukan bantuan. – UTUSAN










