PARLIMEN: 375 pelajar Palestin terima bantuan khas RM4.3 juta

PARLIMEN: 375 pelajar Palestin terima bantuan khas RM4.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 375 pelajar Palestin yang aktif di institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia menerima bantuan khas berjumlah RM4.3 juta merangkumi yuran pengajian dan sara hidup, setakat 31 Disember 2024.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, penyaluran bantuan itu dilaksanakan mengikut Garis Panduan dan Terma Penyaluran Bantuan Sara Hidup Kepada Pelajar Warganegara Palestin Universiti Awam yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Katanya, bantuan khas tersebut dilaksanakan pada 2024 melalui kerjasama KPT dan Kementerian Luar selaras dengan Keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 24 November 2023.

“Bantuan disalurkan melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan Kementerian Luar dan dikumpulkan daripada sumbangan sektor korporat dan orang ramai.

“Penyaluran ini memberi keutamaan kepada pelajar yang terkesan secara langsung akibat konflik di Palestin dan bukan merangkumi tajaan penuh kerajaan kepada semua pelajar Palestin di universiti awam,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai status tajaan pelajar Palestin di universiti awam, jumlah pelajar semasa, serta jumlah yuran dan kos yang ditanggung kerajaan.

Adam Adli berkata, seramai 558 pelajar Palestin sedang mengikuti pengajian di universiti awam di negara ini, setakat 30 September 2025.

Katanya, Malaysia secara konsisten menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin melalui sokongan diplomatik, bantuan kemanusiaan dan akses pendidikan tinggi.

“Kerajaan memastikan pelajar Palestin di negara ini dapat meneruskan pengajian tanpa gangguan selaras dengan prinsip kemanusiaan dan komitmen Malaysia terhadap nasib rakyat Palestin.

“Kerajaan akan terus memastikan segala bentuk bantuan diluluskan dan disalurkan secara telus, berakauntabiliti dan berlandaskan prinsip kemanusiaan.

“Ia selaras dengan komitmen Malaysia terhadap keadilan sejagat serta peranan negara dalam mendukung pendidikan sebagai jambatan keamanan dan pembangunan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN