MELAKA: Seorang lelaki berusia 50 tahun ditahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas didapati membawa anak saudara perempuannya berusia tujuh tahun untuk mengemis di sebuah stesen minyak di Cheng di sini, semalam.
Lelaki itu ditahan kira-kira pukul 6 petang ketika menjalankan kegiatan mengemis bersama kanak-kanak berkenaan dengan memakai kostum ‘Spiderman’.
Operasi diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin itu dibuat susulan aduan orang awam yang mendakwa, kanak-kanak itu dieksploitasi untuk meraih simpati.
Kalsom berkata, perbuatan menggunakan kanak-kanak untuk tujuan mengemis merupakan kesalahan di bawah Seksyen 32 Akta Kanak-kanak 2001.
Katanya, jika disabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
“Tindakan mengeksploitasi kanak-kanak, walaupun melibatkan ahli keluarga sendiri adalah salah dan menyalahi undang-undang. Kehadiran saya adalah bagi memastikan kebajikan kanak-kanak terjamin dan perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Lelaki terbabit mula mengemis sejak pukul 4 petang dengan menggantung kotak sumbangan di leher tertera perkataan ‘sumbangan seikhlas hati’ manakala anak saudaranya akan mendekati kenderaan yang berhenti.
Ada ketikanya, kanak-kanak itu ditinggalkan bersendirian bersama kotak sumbangan sehingga keletihan.
Kalsom berkata, JKM telah mengambil keterangan lelaki terbabit dan siasatan sedang dijalankan.
“Buat masa ini, lelaki berkenaan hanya disoal siasat, namun amaran keras telah diberikan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya perbuatan sama diulang,” katanya. – UTUSAN










