KEPALA BATAS : Kadar zakat fitrah bagi Pulau Pinang sepanjang Ramadan pada tahun ini ditetapkan pada RM10, RM15 dan RM25 iaitu bergantung kepada jenis beras yang biasa dimakan oleh pembayar.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, kadar RM10 ditetapkan bagi beras putih import seperti Thai White Rice, RM15 untuk beras rebus dan beras perang manakala RM25 bagi beras wangi, pulut, herba Ponni, Calrose, basmati atau jenis yang setara dengannya.
“Sasaran kutipan zakat keseluruhan adalah RM239 juta manakala sasaran kutipan zakat fitrah pada tahun ini pula ditetapkan sebanyak RM10.2 juta. Insya Allah, kita yakin mampu mencapai sasaran yang ditetapkan dengan sokongan masyarakat serta kerjasama daripada semua pihak,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah (Mapaf) dan sumbangan Ihya Ramadan Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 1447H/2026M yang berlangsung di Bertam di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 1,686 orang amil zakat fitrah yang melibatkan 239 qariah di seluruh Pulau Pinang turut dilantik untuk membuat kutipan zakat tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, mulai tahun ini, Zakat MAINPP akan melaksanakan satu sistem baharu yang dikenali sebagai Aplikasi Smart Amil sebagai langkah penambahbaikan dalam pengurusan amil zakat fitrah di seluruh negeri.
Katanya, aplikasi itu berfungsi sebagai platform digital bersepadu yang membolehkan proses kutipan, rekod transaksi dan pelaporan dilaksanakan dengan lebih sistematik, tepat dan telus, selain mempercepatkan pemantauan serta pengauditan.
Sementara itu, Mohamad turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM265,000diberikan kepada masjid negeri dan masjid-masjid daerah sebagai sumbangan Ihya Ramadan selain sumbangan sebanyak RM1 juta diberi kepada seluruh masjid di Pulau Pinang bagi tujuan pengimarahan serta solat tarawih sepanjang Ramadan.










