GEORGE TOWN : Seramai 7,317 anggota perkhidmatan awam di Pulau Pinang dijangka menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) pada tahun ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, setiap daripada mereka akan menerima bayaran sebanyak setengah bulan gaji atau minimum sebanyak RM1,000.
“Sebagai tambahan, BKKA sebanyak RM300 turut diberi kepada penyelia, guru serta kakitangan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), sekolah rendah agama rakyat (SRAR), sekolah menengah agama rakyat (SMAR), sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), institusi tahfiz, pondok, tadika Islam (TADIS) serta sekolah persendirian Cina di negeri ini.
“Secara keseluruhannya, bantuan itu melibatkan implikasi kewangan berjumla kira-kira RM8.49 juta. Bayarannya pula akan dibuat selewat-lewatnya pada 16 Mac ini,” katanya di sini, hari ini.
Tambah Kon Yeow, penyaluran bantuan tersebut adalah sebagai penghargaan terutamanya kepada semua penjawat awam negeri atas sumbangan serta komitmen tidak berbelah bahagi mereka dalam merealisasikan gagasan Visi Penang2030.-UTUSAN










